Rabu, 24 Disember 2008

Pembunuh Senyap

Cemas Pembunuh Senyap
Dilulus terbit pada Sunday, December 07 @ 07:43:50 MYT oleh TokPenghulu 
Oleh antirust_man

"Anda pernah mengalami perasaan cemas? Jika kita membuat “survey” ke atas 100 orang responden, tidak mustahil hasil kajiannya menunjukkan 100% responden pernah mengalaminya. 

Apakah yang dimaksudkan dengan cemas.. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga cemas membawa maksud hati berasa takut dan risau ( gelisah, bimbang ). Dalam bahasa yang paling mudah, dapatlah disimpulkan bahawa cemas itu sesuatu yang wujud dalam jiwa seseorang individu disebabkan oleh sesuatu perkara yang tertentu. 

Rasa cemas itu akan menyebabkan seseorang itu menjadi takut dan risau akan sesuatu yang bakal terjadi ke atas dirinya. Kebiasaannya rasa cemas itu menyerang seseorang individu sebelum sesuatu perkara yang dijangkakan atau tidak dijangkakan berlaku. Misalannya seorang pelajar yang sedang beratur untuk mengambil slip peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia berada dalam keadaan yang gelisah dan tidak tenteram. Rasa takut sudah pasti menyelubungi kalbunya ketika itu. Bermacam-macam andaian yang bermain-main difikirannya sehinggalah sijil tersebut benar-benar berada di genggamannya. 

Berita di televisyen baru-baru ini yang melaporkan seramai 25000 pekerja di Amerika akan diberhentikan menjelang tahun 2009 kerana masalah kemelesetan ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang. Adakah mustahil para pekerja di Malaysia tidak berasa cemas dengan situasi yang sedang melanda Amerika sekarang ini. Adakah kesan tersebut tidak akan berjangkit ke Malaysia yang mana kebanyakkan para pelaburnya datang dari Amerika. Adakah mereka tidak akan terfikir tentang masalah pembuangan kerja. 

Adakah mereka tidak risau sekiranya semua ini berlaku bagaimanakah untuk mereka meneruskan kehidupan mereka. Bagaimanakah situasi anak-anak yang masih bersekolah, hutang-piutang yang masih belum habis dibayar, ibu dan ayah di kampung yang masih memerlukan bantuan kewangan daripada anak-anak dan seribu macam lagi andaian-andaian yang akan berpusing-pusing dalam minda mereka yang sedang memikirkan masalah tersebut. Rasa cemas adalah suatu perasaan yang pasti hadir dalam jiwa setiap manusia dalam pelbagai situasi dan keadaan. 

Ada manusia yang cemas setiap kali berdepan dengan peperiksaan tetapi tidak cemas apabila berada di tempat yang tinggi atau kenderaan yang dipandu dengan laju. Ada manusia yang tidak takut apabila melihat binatang-binatang yang besar dan buas, tetapi sangat cemas apabila melihat kelibat beberapa ekor lipas berhampiran dengannya. Namun, tahukah anda cemas ini sekiranya tidak dikawal akan menyebabkan beberapa masalah boleh berlaku. Dalam sebuah kajian yang dilakukan oleh para penyelidik dari Universiti Selatan California, Los Angeles menunjukkan rasa cemas akan meningkatkan risiko serangan jantung. Menurut kajian tersebut, lelaki yang tahap cemasnya tinggi mempunyai kemungkinan 30 hingga 40 peratus lebih tinggi menghadapi serangan jantung berbanding yang lain. 

Seorang penyair pernah bermadah, “Kesusahan itu menyebabkan orang gemuk menjadi kurus dan orang muda menjadi beruban dan nampak tua”. 

Ya, benar sekali, rasa cemas akan menyebabkan susah hati dalam jiwa si pengidapnya. Cuba perhatikan bagaimana orang yang cemas mengenangkan masalah kewangan yang melanda perniagaannya seperti mana yang digambarkan dalam drama dan filem-filem tempatan atau luar Negara. Bagaimanakah keadaan diri mereka, teruruskah? 

Dalam sebuah kisah yang diceritakan oleh Dr . Muhammad Al Ghazali dalam bukunya yang bertajuk “ Jaddid Hayatak ” menceritakan bagaimana seorang lelaki yang kesedihan kerana bencana yang menimpa keluarganya, telah membawa kepada kehilangan giginya. Beliau terus menjelaskan bahawa berdasarkan penemuan terkini menunjukkan gangguan emosi yang tidak menyenangkan seperti rasa cemas dan sebagainya sangat kuat sekali pengaruhnya pada keseimbangan cairan tubuh badan. Ia akan mengubah kalsium di dalam tubuh menjadi racun, sehingga tubuh tidak dapat menyerap zat-zat berguna dari makanan yang diambil sekalipun makanan itu penuh dengan zat yang akhirnya merosakkan gigi. 

Seorang doktor di sebuah rumah sakit Mayo, Dr Harold C. Habein pernah membentangkan sebuah kertas kerja pada perhimpunan tahunan American Association Of Industrial Physicians and Surgeons yang mengatakan berdasarkan kajiannya terhadap 176 usahawan muda yang berumur sekitar 44 tahun, lebih satu pertiga daripada daripada mereka menderita mengidap penyakit-penyakit seperti jantung, barah dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada hidup yang penuh ketegangan.  

Dale Carnegie pula berkata, hasil penelitiannya selama ini menunjukkan bahawa rasa cemas itu merupakan pembunuh nombor satu di Amerika. Sejak perang dunia ke II sepertiga juta tentera Amerika telah terbunuh di medan peperangan, dan dalam masa yang sama, dua juta manusia terbunuh disebabkan oleh penyakit jantung, dan setengah daripada dua juta yang meninggal akibat sakit jantung itu berpunca daripada rasa cemas dan kehidupan yang penuh ketegangan. 

Bagaimana kondisi anda sekarang. Adakah anda antara pengidap penyakit cemas yang kronik. Cuba perhatikan tindakbalas anda terhadap sesuatu perkara yang berlaku ke atas anda. Adakah anda mudah gugup, sering ke tandas untuk membuang air kecil, tekanan darah naik dari paras normal, sukar tidur ataupun tidur dalam tempoh masa yang agak lama dari kebiasaan, tapak tangan berpeluh, degupan jantung berdegup kencang, mual-mual atau sakit perut, ataupun anda diserang sakit kepala. Jika anda pernah mengalami situasi sebegitu mungkin anda antara pengidap penyakit cemas. 

Namun kedudukan anda di antara dua, samada pengidap penyakit cemas yang kronik atau anda tidak tersenarai dalam kategori yang pertama tadi. Rasa cemas merupakan penyakit, kerana ia telah terbukti menjadi antara pembunuh utama masyarakat di dunia. Telah banyak kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh pakar-pakar terhadap rasa cemas dan hasilnya hampir sama, iaitu rasa cemas boleh membunuh. Jangan jadikan kita antara mangsa seterusnya. Kita perlu mengatasi masalah ini dengan segera agar kita mampu berhadapan dengan rasa cemas yang sering menghantui diri kita. Bagaimanakah caranya? Cuba perhatikan pendekatan-pendekat an di bawah. Jika anda bersetuju, pastikan anda melaksanakannya kerana langkah pertama adalah pengubah untuk kehidupan kita seterusnya.

Kenali diri anda

Hanya anda yang mengenali diri anda berbanding orang lain. Seorang kaunselor yang pakar dalam bidangnya tidak akan mampu mengenali kliennya secara total kerana setiap manusia itu mampu menyembunyikan sesuatu perkara yang wujud dalam dirinya. Kerana itu mereka hanya mampu membantu seseorang itu untuk berubah, sedangkan perubahan itu mestilah bermula pada diri individu itu sendiri. Anda tentu bersetuju bukan bahawa andalah yang lebih mengenali diri anda berbanding orang lain. 

Maka dengan itu, perhatikan gerak geri anda, dalam situasi manakah kebiasaannya anda mudah menjadi cemas. Ada orang akan mudah merasa cemas ketika melangkahkan kaki ke dalam dewan peperiksaan. Ada sesetengahnya pula mudah cemas apabila dipanggil oleh majikannya. Ada orang pula mudah cemas apabila diminta memberi ucapan. Anda pula bagaimana? Dalam situasi manakah anda mudah berasa cemas? Jika anda telah bertemu jawapannya, barulah anda boleh meneruskan langkah seterusnya untuk menyelamatkan diri anda daripada menjadi pengidap rasa cemas yang berterusan yang akhirnya nanti menjadikannya satu penyakit yang serius dan seterusnya menjadi racun berbisa dalam hidup anda. 

Yakini diri sendiri

Setiap individu memiliki potensi peribadi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Seseorang perlu percaya pada potensi dirinya agar mampu mendepani setiap masalah yang wujud dalam kehidupannya. Keyakinan yang tinggi membolehkan individu itu sentiasa positif terhadap apa jua keadaan. Sekiranya fikiran anda dipenuhi oleh rasa takut, keraguan dan kurang upaya atas kemampuan diri anda sendiri, maka hasilnya juga akan negatif. Sudah tentu anda akan gagal berhadapan dengan rasa cemas. Ingat, hidup anda dibentuk oleh fikiran anda sendiri. Napoleon Hill dalam bukunya yang bertajuk “ Think And Grow Rich ” ada menukilkan sebuah sajak yang patut kita kongsikan bersama. Mari kita hayati bersama-sama:

Bila anda berfikir bahawa anda telah ditakluki, maka anda sebenarnya telah kalah,

Bila anda berfikir bahawa anda tidak mampu, maka anda memang telah menjadi lemahBila anda ingin menang, tetapi anda berfikir bahawa anda tidak boleh menang, maka pastilah anda tidak akan menang.
 
Bila anda berfikir bahawa anda akan menderita kerugian, maka anda akan benar-benar kerugian.

Walau di mana pun segenap alam sejagat ini, kejayaan itu hanya berpangkal dari kemahuan seseorang. Yang mewujudkan pemikirannya.  

Persiapkan diri untuk berhadapan dengan sebarang risiko 

Meskipun sudah mampu berfikir secara optimis, mempersiapkan diri menghadapi risiko terburuk dapat membantu seseorang untuk menjadi waspada terhadap sebarang kemungkinan. Persediaan yang rapi membolehkan kita berhadapan dengan saat cemas dengan lebih tenang dan bersedia. Contohnya di musim tengkujuh ini pastinya banjir akan melanda dibeberapa kawasan tertentu. Mereka yang berada di kawasan rendah dan pernah dilanda banjir sebelum ini pastinya akan berasa agak takut dan cemas berbanding mereka yang berada di kawasan tinggi. Sekiranya persediaan yang rapi telah dilakukan, maka tiada alasan untuk menjadi cemas sekiranya banjir benar-benar berlaku. Perancangan yang teliti telah terbukti berkesan ketika berhadapan dengan seribu macam masalah. Rasulullah sendiri merancang strategi peperangannya sebelum melangkahkan kaki ke medan perang. 

Seorang pelabur yang bijak mestilah membuat analisa yang menyeluruh terlebih dahulu terhadap bidang yang ingin diceburi berasaskan analisis SWOT( Strenght, weakness, oppoturnity, treat), iaitu apakah kekuatan dan kelemahan yang ia miliki serta apakah ancaman dan peluang dari pihak luar yang boleh membantunya mengecapi kejayaan ke atas pelaburannya nanti. Perancangan yang rapi juga akan mengurangkan rasa cemas atau bimbang terhadap sesuatu perkara yang bakal berlaku. Pengurus yang berjaya tidak perlu cemas apabila dibebani dengan satu tugasan penting dari majikannya. Ia hanya perlu merancang tugasan tersebut dengan teliti beserta dengan pelan utama dan pelan alternatif yang juga disebut pelan kontigensi. Jika pelan A tidak berjaya, maka pelan B boleh dilaksanakan berdasarkan penelitian terhadap kemungkinan- kemungkinan yang bakal berlaku. 

Selalu berharap yang terbaik 

“Insya Allah, pasti semuanya akan selesai”. Inilah antara contoh perkataan yang biasa keluar dari mulut mereka yang sentiasa berharapkan penyelesaian yang terbaik dalam setiap masalah yang dihadapinya. Apabila fikiran positif, maka kekuatan akan muncul dalam diri kita. Apabila fikiran mulai negatif, cas negatif akan menjalar dalam jiwa kita yang akhirnya kita sentiasa dalam keadaan cemas dan tidak menentu. Maka, selalulah berharap yang terbaik dan jangan lupa sertainya dengan doa kerana ia adalah sunnah Nabi apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Jika tidak masakan Nabi bersabda “ Doa itu senjata mukmin”. Berdoa tanpa usaha adalah sia-sia. Tetapi, usaha yang beserta doa adalah senjata yang ampuh bagi melawan rasa cemas yang sering bersarang dalam diri manusia. Dalam al Quran Allah turut menyebut tentang doa. Perhatikan dua ayat ini: "Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." ( surah al Ghafir –ayat 60 ) "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)Masih tidak yakin lagikah anda bahawa doa itu senjata yang ampuh bagi menghadapi rasa cemas? Jangan menafikannya, dan teruskan usaha dan berdoa, insya Allah, Allah pasti bersama dengan anda. 

 Cari pertolongan 

Kita tidak bersendirian di dunia ini. Mengapa perlu malu untuk meminta bantuan daripada mereka yang lebih berkemampuan berbanding anda. Pengeluar kereta Ford, Henry Ford berjaya bukan kerana usahanya seorang, tetapi kerana kereta keluarannya adalah dihasilkan oleh jurutera yang hebat. Jangan malu untuk bertemu dengan mereka yang pakar berkaitan dengan masalah anda. Apa salahnya jika ia mampu mengatasi rasa cemas anda.

Menulis kata-kata motivasi diri

Ciptalah kata-kata atau ambillah mana-mana perkataan yang anda ketemui yang mampu memotivasikan diri anda. Kemudian tampallah di tempat-tempat yang difikirkan sesuai dan mudah dilihat. Lihatlah dan bacalah setiap hari sehingga ia benar-benar terkesan di hati anda. 

Sediakan buku daftar kecemasan anda

Catatlah segala kecemasan dalam sebuah buku. Ketika merasa cemas, catatlah perkara yang membuatkan anda rasa cemas. Bacalah selalu daftar tersebut dan sedarilah dalam diri anda bahawa walaupun anda ditimpa pelbagai perkara, anda masih mampu menjalani kehidupan ini. Jangan berputus asa dan berusahalah untuk mengatasi setiap kecemasan yang anda catatkan tadi. Kemudian, setiap kali anda mampu mengatasi sesuatu kecemasan, coretkanlah saat indah itu dalam buku daftar kecemasan anda. Percayalah, lambat laun kecemasan itu akan lenyap satu persatu dan buku daftar itu akan menjadi simpanan sejarah. Percayalah, bahawa rasa cemas itu akan hilang dari kehidupan anda. 

Bertenang 

Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda yang berbunyi “ Wahai manusia, sesungguhnya kaya yang sebenarnya itu bukanlah banyak harta, tetapi kaya sejati itu adalah kaya jiwa….. ( Riwayat Abu Ya’la )Ya, benar sekali kerana jiwa yang miskin akan menderita mengidap rasa cemas walaupun ia kaya harta. Seorang lelaki kaya setiap masa dalam ketakutan harta kekayaannya akan lenyap, tidurnya tidak lena dan penyakit yang ditanggungnya menyebabkan dia tidak dapat menikmati makanan yang lazat-lazat sesuai dengan statusnya yang berharta. Namun begitu, sebaliknya berlaku kepada petani di kampung yang tidur malamnya lena tidak terganggu, makannya berselera walaupun berlauk biasa dan tidak pun menderita penyakit orang kaya kerana jiwanya tidak miskin walaupun tidak berharta. 

Kehidupannya sentiasa dalam keadaan tenang berbanding si kaya yang sentiasa cemas dan bimbang sepanjang masa. Sekiranya anda memahami maksud tersirat daripada maksud kaya jiwa itu, anda akan menyedari bahawa ketenangan itu ubat mujarab bagi penyakit cemas. Bagaimana rasa tenang dalam jiwa dapat dibina? Tiada cara lain melainkan hanya dengan mengingati Allah dan menjaga hak-hakNya setiap masa. Firman Allah “ Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahaja jiwa akan tenang”. Banyakkan beristigfar dan membaca al-Quran, insya Allah jiwa akan sentiasa tenang dalam apa jua keadaan. 

Akhir kalam, sebelum menamatkan tulisan pendek ini, mari kita renungi hadis ini.

“ Redhalah dengan pembahagian Allah buatmu, engkau akan menjadi manusia yang paling kaya ”

Semoga kita akan sentiasa diberi kekuatan oleh Allah dalam berhadapan dengan setiap rintangan dan ujian yang mendatang. Semoga kita kaya jiwa agar ketenangan sentiasa mendahului rasa cemas dan ketakutan di hati kita.

Selamat berubah kepada kehidupan baru

Wallahua’lam
www.teratakmuslim. blogspot. com " 

Tiada ulasan: