Rabu, 24 Disember 2008

jangan pandang remeh Ketulan pada payu dara - utusan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


RAMAI wanita Malaysia khususnya orang Melayu memandang ringan terhadap tahap kesihatan mereka. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kebanyakan mereka tidak menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai rutin hidup. Alasan yang diberikan, mereka sihat dan masih boleh melakukan kegiatan harian seperti biasa, kalau ada pun sakit sedikit masih boleh digagahi tanpa perlu merujuk kepada doktor.



Justeru, untuk meluangkan masa menjalani ujian saringan kesihatan khas untuk wanita seperti ujian mamogram dan pap smear tidak terlintas di fikiran, sedangkan penyakit menyerang tidak kenal sesiapa, status, usia atau apa sahaja.



Sememangnya ajal dan maut di tangan Tuhan, namun sebagai manusia, kita masih boleh berikhtiar dan mengelakkannya jika kita berusaha seadanya.



Walaupun beribu-ribu kempen kesedaran tentang barah payu dara telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan swasta, minda golongan Hawa di Malaysia masih belum terdidik untuk menjadikan pemeriksaan payu dara sebagai rutin kesihatan mereka.



Wanita muda khasnya yang berusia lingkungan umur 18 hingga 35 tahun pastinya beranggapan bahawa mereka bukanlah golongan berisiko untuk menghidap penyakit barah payu dara.



Stigma tersebut adalah salah sama sekali kerana perangkaan menunjukkan kes barah payu dara pernah menyerang wanita seusia belasan tahun.



Jika satu masa dahulu, hanya wanita yang dikategorikan dalam usia 50 tahun ke atas perlu merisaukan kesihatan mereka terutama untuk sakit kanser, namun kini tidak lagi. Pasti ramai yang menggelengkan kepala apabila mendengar pernyataan tersebut, namun begitulah hakikat yang perlu diterima di setiap negara yang membangun.



Selain faktor keturunan, cara hidup dan pemakanan dikatakan penyebab utama mengapa barah payu dara kini menyerang wanita yang lebih muda.



Pengambilan makanan yang mengandungi lemak berlebihan serta daging merah dikaitkan dengan terjadinya kanser payu dara.



“Terdapat pelbagai lagi faktor penyebab seperti pengambilan pil perancang, lambat mendirikan rumah tangga, tidak menyusukan anak juga boleh menjadi punca mengapa barah payu dara boleh menyerang wanita yang lebih muda,” jelas Pakar Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Tan Khoon Eu.



Beliau yang ditemui di kliniknya berpendapat bahawa, setiap wanita perlu prihatin dengan sebarang tanda atau ketulan yang terdapat pada bahagian buah dada mereka termasuk di bahagian ketiak.



“Jangan memandang ringan terhadap ketulan tersebut kerana ia boleh jadi satu ketulan yang akan mengancam kesihatan anda satu hari kelak.



“Pengesanan awal amat penting bagi memastikan bahawa ketulan yang terdapat di bahagian tersebut bukanlah yang mengandungi sel kanser.



Walau sekecil manapun saiz ketulan tersebut, ia berpotensi untuk menjadi kanser sekiranya tidak dikesan dengan lebih awal,” tegas Khoon Eu.



Untuk mewujudkan kesedaran terhadap wanita tentang bahayanya ketulan sekiranya tidak diperiksa dengan lebih awal, beliau meminta setiap ahli keluarga terutama, suami, ibu atau bapa menggerakkan wanita yang mereka sayangi menjalani ujian sekiranya terdapat sebarang ketulan pada bahagian payu dara dan ketiak.



“ Ada juga wanita yang beranggapan bahawa, ketulan kecil di ketiak tidak ada kena mengena dengan kanser, mereka gemar membuat kesimpulan sendiri bahawa ketulan kecil tersebut hanyalah peluh yang tersumbat akibat pemakaian ubat antipeluh.



“Di kalangan wanita muda, ada banyak jenis ketulan yang perlu dikenal pasti, antaranya sama ada ketulan tersebut dikategorikan dalam fibro adenoma atau breast cyst,” jelas beliau.



Khoon Eu menerangkan, prosedur yang perlu dilalui oleh wanita amat mudah. Bagi wanita yang berusia 40 tahun ke atas ujian mamogram akan dijalankan, tetapi bagi yang lebih muda mereka boleh menjalani ujian ultra bunyi sahaja, ini kerana wanita yang lebih muda, tisu payu dara mereka lebih padat berbanding dengan yang lebih berusia, jadi tidak perlu menjalani mamogram.



Beliau berkata, wanita perlu tahu bahawa, sekiranya kanser payu dara menyerang wanita yang lebih muda, sel kanser tersebut adalah lebih agresif dan lebih susah untuk dirawat.



“Menerusi kes-kes sebelum ini, kebanyakan pesakit kanser payu dara di usia muda juga tidak mampu untuk survive kerana tubuh mereka tidak mampu untuk melawan sel kanser yang merebak dengan agresif,” tambahnya.



Antara rawatan yang diberikan setelah seorang wanita dikesan mempunyai sel kanser payu dara ialah ujian biopsi.



Khoon Eu menyeru kepada masyarakat Melayu khasnya untuk tidak terlalu bergantung kepada perubatan tradisional yang akhirnya hanya akan menyulitkan proses rawatan dan penyembuhan.

Main bungapi dihari raya
Dihari raya main bungapi
Selamat Hari Raya untuk anda semua
Salah dan silap harap dimaafi

Tiada ulasan: