Rabu, 24 Disember 2008

Mati Bukan Sekadar Mati

Sebuah pesanan ringkas muncul diskrin telefon bimbitku. Isinya......
berita dukacita. Seorang teman meninggal dunia...Innalillahi Wainnaillahi
Raji'un.


Kita tidak akan pernah tahu; bilamana dan dimana kita akan menghembuskan
nafas yang terakhir. Kita pun tidak akan pernah tahu apakah akah masuk
syurga atau menuju neraka. Semuanya adalah misteri Allah SWT. Semuanya
sudah diatur olehNya. Kita tidak akan pernah dapat mengubahnya. Namun yang
pasti kita semua akan mati. Berikut adalah perbualan tentang kematian :

Ada sebuah perbincangan yang menarik antara seorang ustaz dengan jemaah
pengajiannya.

Ustaz bertanya kepada jemaahnya "Ibu-Ibu ingin masuk syurga?"

Dengan serentak ibu-ibu menjawab "mauuuu...."

Ustaz kembali bertanya "Ibu-ibu ingin mati hari ini tidak?"

Tidak ada seorang pun yang menjawab. Rupanya tidak ada seorang pun yang
ingin mati. Dengan tersenyum ustaz tersebut berkata "Lah bagaimana nak
masuk syurga kalau tidak mati-mati"

Ustaz itu meneruskan pertanyaannya "Ibu-ibu mahu saya doakan panjang
umur?"


Dengan bersemangat ibu-ibu menjawab "mauuu...."

Ustaz kembali bertanya "Berapa lama ibu-ibu ingin hidup? Seratus tahun?
Dua
ratus atau bahkan seribu tahun? Orang yang berumur 80 tahun sahaja sudah
kelihatan terketar-ketar apalagi yang berumur ratusan tahun".

Rupa-rupanya pertanyaan tadi tidak selesai hingga disitu. Ustaz masih
terus
bertanya "Ibu-ibu cinta dengan Allah tidak?"

Jawapannya memang sudah dapat diduga. Ibu-ibu dengan serentak menjawab
"Ya".

Ustaz kemudian berkata "Biasanya kalau orang jatuh cinta, dia selalu
rindu
untuk berjumpa dengan kekasihnya, apakah ibu-ibu sudah rindu ingin
bertemu
Allah?"

Hening. Tidak ada yang menjawab.

Kebanyakan dari kita ngeri membicarakan tentang kematian. Jangankan
membicarakan, membayangkannya sahaja kita tidak berani. Jawapannya
adalah kerana kita tidak bersedia menghadapi peristiwa setelah kematian.
Padahal, bersedia atau tidak, kita pasti akan menjalaninya. Bersedia atau tidak,
kematian pasti akan datang menjemput. Daripada selalu berdalih belum
bersedia lebih baik mulai dari sekarang kita mempersiapkan diri untuk
menghadapi kematian.

Persiapan terbaik adalah dengan selalu mengingati mati. Yakinkan pada
diri kita bahawa kematian adalah pintu menuju Allah. Kematian adalah jalan
menuju tempat yang indah, syurga. Dengan selalu mengingati mati kita
akan selalu berusaha agar setiap tindakan yang kita lakukan merupakan
langkah-langkah menuju syurga yang penuh kenikmatan.

Hakikat kehidupan manusia adalah sebuah perjalanan kembali menuju Allah.
Dalam perjalanan yang singkat ini ada yang kembali dengan selamat, namun
ada yang tersesat di neraka. Kita terlalu disibukkan oleh dunia hingga
merasakan bahawa dunia inilah kehidupan yang sebenarnya. Kita seakan
lupa bahawa hidup ini hanya sekadar persinggahan untuk mencari bekal pulang.
Kemilaunya keindahan dunia membuat kita terlena untuk menapaki jalan
pulang.

Rasulullah SAW pernah berkata orang yang paling cerdas adalah orang yang
selalu mengingati mati. Dengan erti kata lain orang yang paling cerdas
adalah orang yang mempunyai visi jauh ke hadapan. Dengan selalu
mengingati visi atau tujuan hidupnya, ia akan selalu berghairah melangkah ke
hadapan.
Visi seorang muslim tidak hanya dibataskan oleh kehidupan di dunia ini
sahaja namun lebih dari itu, visinya jauh melintasi batas kehidupan di
dunia. Visi seorang muslim adalah kembali dan berjumpa dengan Allah.
Baginya saat-saat kematian adalah saat-saat yang indah kerana sebentar
lagi akan berjumpa dengan sang kekasih yang selama ini dirindukan.

Terkadang kita takut mati kerana kematian akan memisahkan kita dengan
orang-orang yang kita cintai. Orang tua, saudara, suami/isteri, anak.
Ini menandakan kita lebih mencintai mereka daripada Allah. Jika kita
benar-benar cinta kepada Allah maka kematian ibarat sebuah undangan
mesra dari Allah.

Namun begitu kita tidak boleh meminta untuk mati. Mati sia-sia dan tanpa
alasan yang jelas justeru akan menjauhkan kita dari Allah. Mati bunuh
diri adalah wujud keputusasaan atas kasih sayang Allah. Ingin segera mati
kerana kesukaran dunia menandakan kita ingin lari dari kenyataan hidup. Mati
yang baik adalah mati dalam usaha menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta.
Mati dalam usaha mewujudkan cita-cita terbesar yakni perdamaian dan
kesejahteraan umat manusia.

Akhirnya orang yang selamat adalah orang yang menyedari bahawa semua
harta dan kekuasaan adalah perantaraan untuk dapat kembali kepada Allah.
Jasadnya mungkin bersimbah keluh berkuah keringat, banting tulang menundukkan
dunia namun hatinya tetap hanya terpaut pada si kekasih; Allah SWT. Yang
terpenting adalah bagaimana kita dapat bekerja keras, berfikir cerdas
dan berhati ikhlas.

Duhai Pemilik dunia, ajarkan kami untuk menundukkan dunia, bukan kami
yang tunduk kepada dunia. Bila kilauan dunia menyilaukan pandangan kami, bila
taburan permata dunia mendebarkan hati kami, ingatkan kami ya Allah.
Ingatkan bahawa keredhaanMu dan kasih sayangMu lebih besar dari pada
sekadar dunia yang pasti akan kami tinggalkan. Amin.
Mati, ternyata tidaklah sekadar mati.
 
Wallahu'alam.

Tiada ulasan: