Jumaat, 14 November 2008

Soalan & Jawapan

NIAT KORBAN 

Soalan; Saya telah niat untuk memberi korban selagi saya mampu untuk keluarga saya(iaitu anak-anak saya suami dan juga diri saya sendiri). Soalan saya bagaimana cara untuk saya niat...dan ketika melakukan korban saya selalu diminta memberikan nama orang yang kita nak bagi korban itu. Nama siapakah yang harus saya bagi sebab mereka cuma minta nama seorang saja ketika hendak menyembelih.

Jawapan;

Dinisbahkan kepada sebuah rumah/keluarga, korban adalah sunat kifayah dengan pengertian kalau seorang daripada anggota rumah/keluarga telah menjalankan korban maka terhasillah sunat korban tadi bagi semua anggota keluarga. Berkata Imam ar-Rafi’ie; “Seekor kambing tidak boleh dijadikan korban melainkan untuk seorang sahaja. Namun jika seseorang melakukan korban dengannya bagi pihak ahli keluarganya, maka terhasillah syi’ar dan sunnah bagi sekelian mereka”.[1] Ini berdalil kepada hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Nabi s.a.w. menyembelih korban dengan dua ekor biri-biri dan baginda berkata; ‘Ya Allah, terimalah korban ini dari Muhammad serta ahli keluarga Muhammad” (Riwayat Imam Muslim dari Aisyah r.a.).

Begitu hadis dari Abu Ayyub al-Ansari r.a. yang menceritakan; “Kami pada mulanya (di zaman Nabi s.a.w.) melakukan korban dengan seekor kambing yang disembelih oleh seorang lelaki bagi dirinya dan bagi ahli keluarganya. Kemudian setelah itu, orang ramai saling berbangga (dengan binatang korban mereka), maka jadilah ia suatu kebanggaan (di mana disembelih bagi setiap orang seekor kambing atau lebih)” (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’).

Itu jika dalam sebuah rumah ada beberapa orang. Adapun jika penghuni rumah seorang sahaja maka sunat ain ke atasnya melakukan korban.[2] Adalah makruh bagi sebuah rumah/keluarga sengaja meninggalkan sunat ibadah korban sedangkan ada di kalangan mereka orang yang mampu melakukannya.[3]

Mengenai niat, dalam setiap ibadah niat adalah wajib kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya segala amalan adalah dengan niat”. Sebaik-baik niat bagi ibadah korban ialah ketika binatang korban itu disembelih. Maksud niat ialah kita menghadirkan di dalam hati bahawa binatang yang sedang disembelih itu ialah ibadah korban kita kerana Allah. Disunatkan kita melafazkan semasa sedang disembelih itu sebagaimana ucapan yang dilafazkan oleh Nabi s.a.w.;

“Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah korban ini dari ______ dan ahli keluarga ___________( sebutkan nama kita diruang kosong)”.

Jika kita tidak dapat hadir semasa binatang korban itu disembelih, harus kita mewakilkan niat kepada orang lain yang akan menyembelihnya. Mengenai nama yang hendak diserahkan, tidak menjadi masalah kita menyerahkan nama kita sendiri kerana pahalanya nanti akan diperolehi juga oleh keluarga kita bergantung niat kita. Namun jika kita hendak melakukan korban bagi pihak orang lain (yakni melakukan korban atas namanya, bukan sekadar meniatkan pahala untuknya), wajib memaklumkan kepadanya terlebih dahulu untuk mendapatkan keizinan darinya. Jika tidak dimaklumkan kepadanya atau tidak mendapat keizinan darinya, tidak terhasil ibadah korban itu untuknya.[4]

Wallahu a’lam.

Nota kaki;

[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.
[2] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816.
[3] Kifayatul-Akhyar, hlm. 528.
[4] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 11:50 PM 0 comments  

Labels: Ibadah




Thursday, October 23, 2008
SOLAT MUSAFIR KETIKA BALIK KAMPUNG 

Soalan; ustaz, saya ada 2 soalan:-
1. Sekiranya saya balik ke kampung mentua (kampung suami) yang jaraknye melebihi 2 marhalah boleh atau tidak sy solat jamak dan qasar ketika berada di situ..dan berapa hr yang sy blh jamak? setahu sy ada 2 pendapat yang mengatakan boleh dan ada yang kata tidak boleh.....minta utz untuk kemukakan 2 pendapat ini dan yang manakah yang terbaik utk dilakukan.
2. Adakah suami saya boleh jamak dan qasar ketika pulang ke kampungnya itu?
Terima kasih

Jawapan;

Jika kita berasal di satu tempat, kemudian kita berpindah darinya dan tinggal/mustautin di tempat yang lain, merujuk kepada amalan Nabi s.a.w. harus kita melakukan solat musafir (yakni jamak dan qasar) tatkala kita bermusafir ke tempat asal kita jika jaraknya melebihi dua marhalah dari penempatan baru kita. Sedia dimaklumi bahawa Nabi s.a.w. berasal dari Mekah, kemudian berhijrah ke Madinah. Hadis-hadis Nabi s.a.w. menceritakan bahawa tatkala baginda bermusafir ke Mekah, baginda melakukan solat musafir ketika berada di Mekah - walaupun Mekah itu asalnya adalah tanah kelahirannya- . Seorang sahabat bernama ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Aku pernah berperang dengan Rasulullah s.a.w. dan bersama baginda ketika pembukaan kota Mekah. Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dengan tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (yakni melakukan solat qasar). (Selepas memberi salam), baginda berkata (kepada makmum di belakangnya dari kalangan penduduk Mekah); “Wahai penduduk Mekah, sempurnakan solat kamu kepada empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir”. (HR Abu Daud).

Berdasarkan hadis ini, harus kita melakukan solat musafir apabila kita pulang ke kampung/penempatan kelahiran kita jika kita tidak lagi menetap di situ. Adapun tempoh keharusan melakukan solat musafir, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulama k.blogspot. com/2008/ 09/tempoh- harus-solat- musafir.html).

Mengenai pendapat ulamak, ada sebahagian ulamak berpendapat; tidak harus seseorang melakukan solat musafir jika ia singgah di suatu tempat yang ada di situ ahli keluarga dan hartanya. Ia hanya harus melakukan solat musafir ketika dalam perjalanan ke situ sahaja. Adapun apabila sampai, ia hendaklah melakukan solat penuh. Ini kerana dengan adanya keluarga dan hartanya di situ, maka tempat itu telah telah menyerupai negeri/kawasan penempatannya. Antara yang berpandangan sebegini ialah Imam Ahmad dan az-Zuhri. Berkata Imam az-Zuhri; sesiapa bermusafir dengan melalui ladang/kebun miliknya, tidak harus solat musafir di situ. Pandangan ini di ambil dari Ibnu ‘Abbas di mana menurut beliau; jika kamu tiba di satu kawasan/tempat yang ada ahli keluarga atau harta kamu, hendak lah kamu mengerjakan solat sebagaimana solat orang muqim (orang yang menetap), yakni; solat dengan sempurna, tanpa qasar.

Namun jumhur ulamak (termasuk Imam Syaf’ie, Ibnu al-Munzir, Imam Malik dan sebagainya) berpendapat; harus ia solat musafir selama ia tidak berniat menetap (bermuqim) di situ. Jika ia berniat menetap (bermuqim) di situ, tamatlah keharusan solat musafirnya (yakni ia hanya harus mengerjakan solat musafir di perjalanan sahaja dan apabila sampai hendaklah ia melakukan solat sebagaimana biasa). Jadi menurut pandangan ini hukum bermusafir ke tempat yang ada ahli keluarga kita sama seperti bermusafir ke tempat lain, iaitu harus melakukan solat jamak dan qasar (jika mencukupi syarat-syarat dari segi jarak dan sebagainya) selama kita tidak berniat untuk menetap atau bermastautin di situ.

Pandangan pertama berdalilkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan bahawa; Saidina ‘Usman apabila berada di Mekah, beliau tidak mengqasarkan solatnya akan tetapi melakukannya dengan sempurna. Lalu perbuatannya disanggah oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka ia menjawab; Aku telah berkeluarga di Mekah. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa berkeluarga di satu negeri, hendaklah ia mengerjakan solat sebagaimana orang muqim (yakni tidak boleh jamak dan qasar)” (Riwayat Imam Ahmad). Namun, para ulamak hadis telah sepakat mengatakan bahawa; hadis ini adalah dhaif (lemah), tidak harus dijadikan hujjah. (Lihat; Nailul-Autar; 3/221).

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/184.
2. Nailul-Autar, Imam asy-Syaukani, 3/221.
3. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 2/304.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 11:26 PM 0 comments  

Labels: Ibadah

Tiada ulasan: