Isnin, 17 November 2008

Bayi Berwajah Ular

Bayi Yang Berwajah Ular
www.iLuvislam. com
Oleh: Ahmad Saifuddin Amran*


Anda pasti pernah melihat video tentang kelahiran seorang bayi yang berwajah ular di atas. Diceritakan bahawa kejadian yang pelik ini berlaku di sebuah hospital di Mekah. Berikut saya salin semula kisahnya. 

Kejadian ini benar-benar berlaku di Makkah. Seorang rakan sepejabat pergi ke Makkah menunaikan Umrah. Bertolak 10 Jun 2007 dan pulang ke Malaysia 27 Jun 2007. Ceritanya berlaku di hospital Makkah. Ibu malang ini telah mempunyai 2 orang anak perempuan dan mengandungkan anak ketiganya yang menurut kata doktor anak itu juga seorang perempuan. Memandangkan ibu itu sudah mempunyai 2 anak perempuan jadi dia teringin pula anak lelaki. Oleh kerana doktor mengatakan anak yang dikandungnya adalah perempuan, dia merasa sedih dan setiap kali orang tanyakan kandungannya lelaki ke perempuan (semasa dia mengandung) dengan berseloroh dia menjawab dia mengandungkan anak ular. Tiba hari yang ditentukan Allah untuk dia melahirkan bayi di dalam kandungannya itu, maka dia telah melahirkan anak yang menyerupai wajah ular. 

Sebagai seorang yang pelajar beraliran sains dan mempelajari ilmu perubatan, amat sukar sekali bagi saya untuk mempercayai cerita-cerita yang boleh dikategorikan sebagai tahyul edisi Mastika ini. Saya yakin dan percaya sesuatu yang berlaku meski perkara paling ajaib di dunia sekalipun pasti ada penjelasan logik dan saintifik kerana Allah tidak menjadikan dan mengatur alam ini melainkan dengan sunnah-Nya. Alhamdulillah, setelah melakukan pencarian akhirnya saya menemui punca berlaku kejadian tersebut. Dan hakikatnya kejadian di atas tiada kaitan dengan unsur-unsur mistik seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya, ia termasuk dalam ilmu perubatan. 
Harlequin type ichthyosis 
  
 

Harlequin type ichthyosis (atau sinonimnya harlequin ichthyosis, ichthyosis congenita, keratosis diffusa fetalis) adalah sindrom penyakit kulit yang paling parah dan hanya berlaku pada bayi yang baru lahir. Ciri-ciri Harlequin dapat dilihat pada penebalan pada lapisan keratin kulit bayi yang membentuk sisik-sisik tebal kemerah-merahan dan berbentuk seperti berlian (diamond). Sisik tebal pada kulit bayi ini sangat membataskan pergerakan bayi malah menyukarkannya untuk bernafas dan makan. Bayi Harlequin selalunya tidak dapat bertahan untuk hidup lama. Hal ini kerana rekahan-rekahan pada kulit yang mengeras tersebut memudahkan bakteria atau bahan tercemar menembusi badan seterusnya mengakibatkan jangkitan yang membawa maut. Untuk memanjangkan hayat, bayi Harlequin perlu dimasukkan ke dalam neonatal intensive care unit dengan segera. Penyakit ini amat jarang sekali berlaku dengan kadar satu per 300 000 dan insidennya juga tidak cenderung pada mana-mana jantina atau bangsa. 
Sejarah 
Kelahiran pertama bayi Harlequin dicatatkan pada tahun 1750 oleh seorang Reverend Oliver Hart dari Charleston, South Carolina yang menulis dalam diarinya: 
On Thursday, April ye 5, 1750, I went to see a most deplorable object of a child, born the night before of one Mary Evans in 'Chas'town. It was surprising to all who beheld it, and I scarcely know how to describe it. The skin was dry and hard and seemed to be cracked in many places, somewhat resembling the scales of a fish. The mouth was large and round and open. It had no external nose, but two holes where the nose should have been. The eyes appeared to be lumps of coagulated blood, turned out, about the bigness of a plum, ghastly to behold. It had no external ears, but holes where the ears should be. The hands and feet appeared to be swollen, were cramped up and felt quite hard. The back part of the head was much open. It made a strange kind of noise, very low, which I cannot describe. It lived about forty-eight hours and was alive when I saw it. 
  
Punca 
Kajian terkini oleh kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Queen Mary's School of Medicine and Dentistry di London telah mengenalpasti bahawa penyakit ini disebabkan berlakunya mutasi pada gen ABCA 12. Gen ABCA 12 berfungsi menghasilkan protein yang diperlukan untuk pertumbuhan kulit yang normal. Walaupun protein yang dihasilkan itu masih belum lagi diketahui fungsi sebenarnya, namun para pengkaji percaya bahawa protein tersebut memainkan peranan penting dalam pengangkutan lipid ke bahagian paling luar kulit (epidermis). Mutasi pada gen ABCA12 mengakibatkan protein ABCA12 kehilangan fungsi dalam menghasilkan epidermis yang normal. Hal ini menghalang kulit dari mendapatkan perlindungan yang berkesan lalu menyebabkan kulit menjadi keras dan bersisik. 
Diagnosis 
  
 
  
Diagnosis terhadap Harlequin mestilah dilaksanakan seawal 17 minggu selepas kehamilan. Tanda-tanda kelahiran Harlequin dapat dikesan apabila terdapat penghasilan keratin yang berlebihan (overproduction) dan titisan lipid yang abnormal dalam sampel cecair amniotik yang diperoleh. Ibu bapa akan diberi pilihan sama ada untuk menggugurkan kandungan fetus setelah diagnosis benar-benar disahkan. Kini, ciri-ciri umum Harlequin dapat dikenalpasti dengan bantuan alat ultrasound diikuti dengan pemeriksaan 3D ultrasound. 
Rawatan 
Bayi Harlequin memerlukan penjagaan yang intensif dan berterusan. Selain pengawasan yang berterusan, mata mereka perlu sentiasa dilindungi dengan ophthalmic lubricant (pelincir mata). Mereka juga memerlukan nutrien dengan cara intubation atau IV drips kerana sukar untuk memberi makan secara normal kepada mereka. 
Sikap Masyarakat 
Sesetengah masyarakat kita yang masih dibelenggui fahaman animisme dan khurafat gemar sekali mengaitkan kejadian-kejadian ganjil seperti ini dengan sumpahan, buatan orang, jin atau syaitan, kenan atau lainnya. Jauh sekali mereka mahu melihat perkara ini dari aspek saintifik. Lebih teruk lagi, terdapat mereka yang memanipulasikan perkara ini sebagai alat mainan untuk gurauan atau menakut-nakutkan masyarakat. Sedangkan di Barat sudahpun ditubuhkan institusi-institusi yang menyelidik penyakit ini secara khusus demi mencari punca dan penawarnya. Kita pula masih rela dibodohkan dengan kisah-kisah khayalan dan kayangan yang tidak berpijak di bumi nyata. Malah dengan membuta-tuli mempercayai hikayat-hikayat tersebut tanpa berusaha memastikan kebenaran dan kesahihannya. 
Bukanlah saya menafikan "kun fayakun" Allah, akan tetapi seperti yang saya jelaskan tadi Allah sekali-kali tidak akan melanggar sunnah-Nya dalam mencipta dan mengatur alam. Segala-galanya pasti terdapat penjelasan yang logik dan saintifik. Bukankah Allah banyak menekankan kita untuk memaksimakan penggunaan akal untuk menghayati ciptaan-Nya? 
  




__._,_.___

Tiada ulasan: