Dialog yang terjadi dengan orang-orang soleh, sentiasa penuh dengan nasihat, hikmah bahkan sindiran yang begitu kuat menancap di hati. Pengalaman penulis ketika berkesempatan menziarahi dai’e dan murabbi dakwah di tanah air tercinta, pasti akan beroleh bekalan yang dapat mendidik jiwa lantas iman menjadi tertingkat. Bahkan penulis pernah bermusafir dengan seorang murabbi dalam satu perjalanan sekitar 3 jam memandu kereta, air mata penulis bercucuran tumpah ke bumi sebaik berbual dengan beliau, nasihat santai dan susunan kisah-kisah para sahabat yang beliau nukilkan telah menggugah iman penulis dan merasai kekerdilan diri di hadapan Allah swt. Suasana tersebut tidak dapat kita perolehi di luar sana lantaran masyarakat sibuk berbicara hal keduniaan berbanding hal keakhiratan. Bukanlah bermakna penulis mengatakan kita tidak perlu memikirkan dunia, kerana sang murabbi yang bermusafir bersama penulis tadi bukan sahaja beliau seorang pendidik jiwa, malahan beliau seorang saintis berjaya di salah sebuah jabatan kerajaan. Namun kehidupan beliau penuh dengan kerja-kerja mendidik manusia, bahkan katanya hidupnya adalah untuk mewakafkan diri kepada dakwah dan tarbiah.
Penulis mengajak pembaca untuk kita mendekati satu kisah murabbi di zaman Tabi’in, suasana beliau bersama anak-anak didiknya perlu kita suburkan kembali, apatah lagi di zaman yang serba moden ini. Suatu hari satu soalan “mendidik” pernah diajukan oleh seorang soleh bernama Muhammad bin Wasi ’rahimahullah kepada orang-orang di sekelilingnya, “Apakah kalian hairan, jika kalian melihat seseorang menangis di syurga?” Orang--orang yang berada di sekitar Muhammad bin Wasi ’ menjawab pasti, “Tentu saja kami hairan wahai Syaikh.” Lalu Muhammad bin Wasi ’ mengatakan, “Seharusnya kita lebih hairan apabila melihat seseorang yang masih hidup di dunia, tertawa terbahak, sementara ia belum tahu bagaimana akhir perjalanannya di akhirat kelak...”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan