Sabtu, 22 November 2008

Memerangi Pemikiran Eksklusif Khurafat

Memerangi Pemikiran Eksklusif Khurafat

Tunduk, sujud hamba kepada Al-Malik, Raja sekelian alam yang telah mengizinkan untuk kita bertemu kembali dalam meneruskan perbincangan `memerangi pemikiran-pemikiran thoghut` laknatulLah yang mengganggu kesucian perjuangan Islam kini. Selawat dan salam perjuangan kepada RasululLah SAW, kaum keluarga serta para sahabat Baginda yang menjadi generasi contoh unggul hadharah kita, InsyaAlLah. Seterusnya tak dilupakan kepada penyambung-penyambu ng perjuangan ini dari dahulu sampailah ke hari perhitungan.
 

Kecelaruan fikrah atau pemikiran bukan sahaja dialami oleh ummah kebanyakan malah turut menghinggapi kepimpinan ummah yang merupakan suatu malapetaka kepada ummah seluruhnya.


` Fenomena ini wujud berpunca daripada kealpaan dan kelalaian manusia daripada tugas dan fungsi mereka yang utama iaitu sebagai hamba kepada Allah dan dalam masa yang sama sebagai khalifahNya untuk memakmurkan bumi ini ` ` Akibat daripada salah faham terhadap tuntutan-tuntutan Islam itu sendiri, ramai di kalangan ummat Islam di serata dunia pada hari ini terkeliru mengenai fenomena ini. Ummat Islam terseret jauh ke dalam kancah kegawatan tamaddun barat ini yang telah membawa kepada kehancuran ummat Islam itu sendiri. ` ` Kita tidak rela Islam dijadikan tempelan untuk memperbaiki kerosakkan yang terhasil dari kegagalan sistem masyarakat materialis yang menguasai politik Negara pada masa kini.`

- Al-Marhum Dato` Hj Fadzil Mohd Noor ( Masyarakat Madani Alaf Baru)
 

Kekeliruan ini seperti yang saya sebut dahulu iaitu apabila pegangan mereka masih berbolak-balik antara zat dan sifat, harakah Islam atau parti politik. Apabila tapak berpijak mereka adalah parti politik maka asas berfikir dan landasan bertindak mereka tentulah politik juga yang akan terpisah dengan landasan Islam.
 

Kesilapan yang nyata ini telah memberi kesan yang cukup ketara kepada ummah masa kini apabila Islam diterima dan diperjuangkan dengan meninggalkan tuntutan atau kewajipan membina hadharah, persis ajaran sekular/ Kristian. Kepentingan atau kesedaran terhadap membangunkan hadharah telah dilupakan hatta oleh kepimpinan gerakan dan harakah ummat Islam sendiri. Mereka melihat hadharah sebagai sesuatu yang `asing` dan terlalu `jauh` dari kehidupan ummah seharian. Mereka melihat hadharah dari kaca mata dunia sekular melihat `tamaddun`. Mereka mengkaji serta mengkagumi kesan-kesan atau hasil seni dan senibena ummat Islam zaman empayar dahulu. Sedangkan `hadharah` itu tidak wujud sekarang yang tinggal hanya kesan-kesan atau bekas sebagai bukti `hadharah ummat Islam dahulu` pernah berkembang di bumi nyata.


Islam tanpa hadharah sebenarnya seperti roh tanpa jasad, seperti manis tanpa perlu hadirnya gula atau tebu dan seperti lemak tanpa kehadiran bahan-bahan yang membawa lemak. Mana mungkin perkara-perkara yang mencarik adat ini akan boleh berlaku jika sunnatulLah sendiri menetapkan bahawa perlu bahan-bahan tersebut hadir dahulu atau dihadirkan. Di sinilah peranan serta tanggungjawab setiap mukmin dahulu, sekarang atau masa akan datang.. Fenomena ini tidak akan dapat dilihat oleh orang bukan Islam dari posisi mana sekalipun secara jelas seperti orang-orang beriman melihat dan memahami hadharah. Kerana asas atau tapak berfikir keduanya berbeza, yang satu beriman dan yang satu kufur. Orang-orang beriman melihat kesan-kesan tinggalan hadharah tersebut dengan penuh iktibar serta keazaman mengembalikan segala kegemilangan saudara mereka dahulu menjadi realiti kehidupan kini, kerana tanggungjawab mukmin dahulu sama dengan tanggungjawab mukmin sekarang.
 

Sebab itu saudaraku, Islam yang kita anut mestilah sekurang-kurangnya menggerakkan kita supaya menumbuhkan atau menghadirkan penampilan-penampil an `hadharah kecil` dalam kehidupan peribadi, keluarga serta kelompok terdekat kita supaya dapat digabungkan dengan `hadharah kecil` saudara Islam kita yang lain pula bagi menjayakan Hadharah Islamiyyah. Hadharah bagi ummat Islam ialah satu ruang serta suasana yang tersendiri yang `dihadirkan` oleh individu atau kelompok ummah yang akan membentuk habitat atau environment yang sihat terhadap perkembangan dan pertumbuhan Islam serta ajarannya. Itulah tugas dan kerjasama setiap individu ummah yang sepatutnya digerakkan oleh pimpinan jemaah sebagai penyelaras yang memegang amanah kepimpinan ummah.
 

Sebagai contoh di samping tugas asasi membina Hadharah Islam, kita kena membebaskan diri kita dari bekerja membina hadharah musuh iaitu seperti terlibat dengan riba, arak, maksiat dan sebagainya yang ditegah syara`. Kita tidak boleh cenderung atau merasa selesa berbakti di bawah naungan hadharah jahiliyyah melainkan terpaksa atau sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membebaskan diri dari belenggunya. Anak-anak termasuk diri kita mestilah diusahakan supaya mendapat pendidikan dari acuan Hadharah Islamiyyah dan cuba semampu mungkin mengelak dari diracuni oleh pendidikan hadharah jahiliyyah.
 

Tetapi jika mereka beranggapan bahawa ummah tak perlu lagi membina hadharahnya sendiri kerana belum dapat menguasai pemerintahan negara. Ataupun kita buat ala-kadar sahaja supaya ada juga hujah untuk menutup suara-suara yang menuntutnya, tetapi semua ini bukanlah sepadan sebagai mana mereka menggerakkan kerja politik yang secocok dengan selera nafsu puaknya. Ini adalah alasan atau eskapisme yang nampak logik di atas landasan berpolitik dengan ummat bawahannya.
 Sedangkan penguasaan politik yang dikecapi oleh mereka selama ini pun sekadar menjadi penerus agenda kepada kerangka sekular yang didakwa sebagai musuhnya jua. Mungkin dengan sedikit tokok-tambah dan beberapa `adjustment` supaya nampak berbeza dengan `permukaan hadapan` wajah sekular, biarpun sebenarnya mengambil posisi `wajah belakang` thoghut (sekular) dengan harapan mereka supaya ummah tidak akan menyedarinya. Kita peringatkan kepada mereka ini wahai kepimpinan ummah! `Mungkin kamu boleh menipu atau mengelabui semua orang dalam satu masa tetapi kamu tidak boleh menipu atau mengelabui pandangan semua orang dalam semua masa.` 

Kita merasa dipermainkan oleh pihak tertentu (bukan Islam) apabila nak menjalankan polisi `amar maaruf nahi mungkar` dan menganjurkan jalinan `silaturrahim` antara pelbagai agama. Apakah pengertian ‘amar maaruf nahi munkar’ dan kepada siapakah ia dituntut ? Apakah agama kita mengiktiraf perlakuan baik tanpa perlu beriman kepada Allah ? Tidakkah mungkar yang paling utama itu tidak beriman kepada Rabb-Pentadbir sekelian alam ? Perlu diperjelaskan oleh pihak yang beramanah dengan agamanya jangan sampai dijadikan bahan politik murahan. Lebih mendukacitakan lagi apabila kepimpinan ummah seperti `mengiyakan` saja segala kenyataan dan perbuatan pihak musyrikeen tersebut, boleh tersenyum lebar dalam majlis mereka menganjurkan jamuan `Aidil Fitri` Agama kita. Sampai sebegitu sekali mereka mempolitikkan Agama kita! Apakah kamu juga bersekongkol bersama musuh mempolitikkan kesucian Agama kami? (Pertanyaan khusus kepada kepimpinan ummah) 

Sumber: http://www.utaraonl ine.net/v2/ modules.php? name=News&file=article&sid=1223
  www.utaraonline. net
  http://www.utaraonl ine.net/v2/ backend.php

– Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tiada ulasan: