Tambat tak tambat, Islam tetap dicampak
Dilulus terbit pada Wednesday, September 24 @ 20:29:32 MYT oleh greenboc
Oleh koropi
"
PUTRAJAYA 22 Sept - Tiada tambatan! Itulah keputusan kerajaan Malaysia terhadap persoalan yang timbul baru-baru ini berkaitan usul mantan PM, Tun Mahathir agar ringgit ditambat semula kepada dolar Amerika Syarikat (USD) dalam menghadapi tekanan ekonomi global yang tidak menentu. TPM selaku pemegang baru portfolio Menteri Kewangan 1 berkata, kerajaan komited untuk membenarkan pasaran menentukan nilai mata wang Negara.
Jika dulu, semasa Dr Mahathir menjadi PM dan Menteri Kewangan, cadangan tambatan ringgit yang dikemukakannya dijulang tinggi oleh orang bawah sebagai idea yang sangat 'agung'. Kini, giliran Najib pula untuk diagungkan, walaupun mempunyai idea yang bertentangan. Mungkin selepas ini akan muncullah pengampu-pengampu yang akan menjulang tinggi pandangan Menteri Kewangan baru ini.
Berikutan krisis dolar yang melanda Amerika Syarikat, kuasa terbesar dunia pada waktu ini, mengakibatkan senario politik-ekonomi global menjadi tidak menentu. Banyak negara yang mengambil langkah berjaga-jaga akibat ketidaktentuan ini, termasuklah Malaysia. Kononnya, langkah demi langkah, strategi demi strategi dipasang agar negara tidak menerima kesan gelombang krisis yang dikatakan terlalu kuat. Sehubungan ini, timbullah bermacam-macam idea di sana-sini tentangnya.
Bila direnung secara jernih, idea-idea tersebut langsung tidak lari dari kerangka berfikir Kapitalis. Ia juga tidak lari dari konsep yang senantiasa berbentuk defensif. Mata wang dan ekonomi yang Malaysia amalkan masih lagi berpaksi kepada lingkaran ekonomi Kapitalis global yang dipimpin oleh Amerika Syarikat. Ekonomi Kapitalis yang ini adalah sebuah sistem ekonomi yang sentiasa mengundang seribu satu masalah tanpa pernah memberikan penyelesaian yang sebenar dalam memenuhi keperluan asas dan sekunder manusia. Sistem ekonomi yang saban waktu memberi tekanan kepada negara-negara kecil dan membangun untuk menghadapi gelora krisis negara-negara besar dan maju. Secara langsung mahupun tidak, sistem ciptaan manusia inilah yang dijadikan asas dalam membangun ekonomi Malaysia mahupun negeri umat Islam lainnya.
Islam hadir ke atas bumi sebagai penyelesai masalah kehidupan (mu’ajalah li masyakil insan). Setiap masalah pasti mampu diselesaikan melalui syariah dan ia bukan hanya dikhususkan untuk umat Islam, bahkan sesiapa sahaja. Begitu juga masalah mata wang di mana Islam telah lama menyelesaikannya dengan tuntas. Mata wang adalah satu alat pertukaran, dan Islam ada hukum tentangnya yang wajib diambil oleh setiap orang yang mengaku Muslim.
Di dalam Islam, mata wang wajib di sandar kepada emas dan perak. Menyandar nilai mata wang pada USD atau membiarkan ia terapung di pasaran Kapitalis merupakan suatu bentuk perjudian yang membahayakan mata wang itu sendiri secara khususnya dan umat Islam secara amnya. Sejarah telah lama membuktikan bahawa selama mata wang disandar kepada emas dan perak, nescaya kestabilannya terjamin dari serangan-serangan manipulator mahupun spekulator. Namun, apa yang lebih penting ialah, ini merupakan hukum syarak yang wajib dilakukan oleh pemerintah!
Lagipun, melalui mekanisme pasaran terbuka (free market) yang didominasi oleh Barat, kedudukan mana-mana mata wang adalah sangat berisiko kerana ia dikawal oleh para Kapitalis besar ini, manakala Kapitalis kecil akan sentiasa menjadi mangsa. Hal ini turut mengakibatkan penjajahan ekonomi berlaku ke atas mana-mana negara yang menyertai pakej ‘perjudian antarabangsa’ ini.
Sampai bilakah agaknya para pemimpin umat Islam ini akan sedar agenda penjajahan Barat melalui ekonomi (dan mata wang)!? Mereka sering melaungkan agar berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan masalah. Namun ternyata mereka sendiri masih berfikir di dalam kotak kapitalis dan fikiran mereka pula sering diperkotak-katikkan . Mereka menyangka bahawa mereka bijak, malangnya mereka sentiasa di dalam kebingungan dan berada di dalam perangkap Barat. Malah, jika kita mencadangkan agar hukum ekonomi Islam diterapkan (selaras dengan seruan mereka agar berfikir di luar kotak), mereka pastinya akan memberi seribu satu alasan. Pemikiran mereka sebenarnya telah dipenuhi oleh najis-najis Kapitalis dan sudah tidak dapat dibersihkan lagi.
Bukanlah tidak ada di kalangan mereka yang sedar bahawa mereka ini penganut ekonomi Kapitalis yang bertentangan dengan Islam, namun, oleh sebab merekalah golongan yang merampas dan mengaut paling banyak kekayaan negara, maka mereka tentunya teramat selesa dengan ekonomi Kapitalis yang mereka amalkan. Justeru, kenapa perlu mereka tukar keadaan ini? Inilah dasar Kapitalis!
Justeru, kita sebagai rakyat wajiblah meningkatkan usaha untuk menghapuskan sistem Kapitalis kejam ini dan menggantikannya dengan sistem Islam. Berapa lama lagikah kita sanggup membiarkan tangan-tangan kotor Kapitalis ini memerintah kita, walhal kita mempunyai kekuatan untuk merubahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan