Isnin, 22 September 2008

Puasa Tak Berkesan. Di Mana Silapnye..

"Seorang penjual ubat akar kayu warga emas kelihatan ceria dan wajah berseri bersih, seola-olah baru pulang dari mengerja haji. Bibirnya kumat kumit membaca sesuatu sambil tangannya meracit akar kayu yang sudah kering untuk dijadikan ubat. Walaupun premisnya cuma di kaki lima, namun dia bersyukur kerana dapat mencari rezeki halal untuk menyara dirinya. 

Tiga orang lelaki berpakaian kemas tiba-tiba menuju ke tempat orang tua itu untuk mencari ubat dari jenis herba yang banyak disusun di hadapannya. 

Sambil memilih bungkusan kecil yang mengandungi akar kayu, tiba-tiba tergetus hati salah seorang dari mereka untuk bertanya kenapa puasa Ramadan yang dikerjakan setiap tahun semacam tidak mendatangkan apa-apa perubahan kepada dirinya, seolah-olah ibadat puasa seperti adat sahaja. 

Sambil merenung ke dalam wajah pemuda itu, orang tua yang berpakaian selekeh itu tersenyum kecil lalu menjawab: 

1. Ramadan sepatutnya disambut oleh umat Islam dengan perasaan gembira kerana ia membawa 1001 keberkatan dan fadilat yang tidak terdapat pada bulan lain, tetapi kamu menerima kedatangannya seperti meneri kehadiran tamu yang tidak diundang kerana terbayang berbagai kesukaran yang bakal kamu tempuhi untuk memenuhi nafsu kamu 

2. Kamu menyambut Ramadan kononnya, tapi fokus utama kamu ialah hari raya. 

3. Umat Islam tahu Ramadan bulan penuh keberkatan, tapi terlalu jarang yang sudi merebutnya kerana tidak terasa terpanggil untuk mendapatkannya. 

4. Ramadan mendidik seseorang supaya bersimpati terhadap golongan miskin. Tapi kamu langsung tidak mempedulikan kesusahan mereka. Malah kamu melihat mereka seperti sampah di tepi jalan. 

5. Kamu berpuasa sehari suntuk tanpa meyentuh makanan. Tapi semasa berbuka kamu menyendatkan perut kamu yang kosong itu dengan anika jenis makanan dan minuman yang jarang kamu hidangkan pada bulan-bulan lain. Ibadat puasa bertukar menjadi pesta mengisi perut untuk memenuhi nafsu makan kamu yang haloba. 

6. Mengimarahkan masjid dengan pengisian solat terawih dan lain-lain ibadat sunat adalah besar fadilatnya, tapi kamu menghabiskan waktu di pasar Ramadan dan gedung membeli belah sehingga larut malam. 

7. Sejak awal pagi kamu sibuk dengan aktiviti perniagaan dan ianya berterusan hingga ke malam tanpa sempat mengisi dengan aktiviti ibadat. Akhirnya tanpa disedari, Ramadan sampai di penghujung sedangkan kamu masih tamak mengejar keuntungan perniagaan yang hanya dapat diraih dalam bulan Ramadan sahaja. 

8. Ramadan mendidik jiwa supaya tidak boros dan membazir, tetapi kamu berbelanja berlipat kali ganda berbanding dengan bulan-bulan lain, bermula dari perbelanjaan untuk menyedia makanan yang lazat sewaktu berbuka dan bersahur hinggalah kepada persiapan untuk menyambut hari raya. 

9. Tujuan syarak mewajibkan berpuasa adalah supaya kamu berkungsi pengalaman perit tanpa makan dengan mereka yang hidup melarat akibat kemiskinan atau ditimpa bencana, tapi perasaan tersebut langsung tidak meresap ke dalam jiwa kamu. Sebaliknya sikap tamak dan bakhil kamu terus menebal sehingga menganggap mereka yang datang meminta sedikit pertolongan dan sumbangan kepada kamu, sebagai menyusahkan kamu. Jika pun kamu menghulur sumbangan, pemberian kamu adalah dengan berat hati dan menunjukkan muka yang masam tanda tidak ihklas. 

10. Kamu mengadakan majlis berbuka puasa di rumah atau di hotel lima bintang dengan juadah yang mewah dan mahal. Tamu undangan kamu terdiri dari rakan bertaraf orang kenamaan dan kaya, sedang jiran kamu yang daif dan miskin tidak termasuk dalam senarai undangan. Kamu sebenarnya melakukan ibadat tersebut dalam keadaan riya’. 

11. Kamu mengunjungi masjid untuk menunaikan solat terawih berjamaah sebagai menunaikan kegiatan qiyamullail di bulan Ramadan, namun dalam hati sering merungut bacaan imam yang panjang kerana tidak mahu menghabiskan masa yang panjang di masjid rumah Allah. 

12. Ramadan melatih kamu supaya bersabar, tetapi semasa memandu, tindak tanduk kamu ternyata hilang sabar. Tangan kamu menekan horn memanjang tanda marah apabila kenderaan lain mengganggu kelancaran kenderaan kamu sambil mulut menyumpah-nyumpah. 

Setelah selesai menjawab, orang tua itu meminta maaf jika jawapannya itu menyinggung perasaan tiga lelaki tersebut. Tanpa membeli ubat, mereka terus beredar kerana pil pahit yang diberi percuma oleh penjual ubat itu sudah cukup untuk merawat ibadat puasanya yang sekian lama terjejas.

Tiada ulasan: