BERAPA HARI ORANG MUSAFIR HARUS TINGGAL PUASA?
Soalan; Ust, tumpang tanya sikit. Untuk pengetahuan ustaz, saya dihendaki mengikuti kursus semasa bulan ramadhan selama satu minggu ke luar negara. Soalan saya adakah saya wajib berpuasa sepanjang berada di luar negara dan bagaimanakah jika saya tidak berpuasa dan apakah hukumnya ?.
Jawapan;
Menurut ulamak, seorang itu diwajibkan berpuasa jika ada pada dirinya syarat-syarat berikut;
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal
4. Mampu berpuasa; yakni sihat tubuh badan, tidak sakit.
5. Tidak bermusafir
6. Bersih dari haid dan nifas
Jadi, orang yang bermusafir tidak wajib berpuasa, yakni diharuskan ia berbuka (tidak berpuasa). Namun, jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie) menetapkan; hendaklah jarak musafir itu melebihi dua marhalah (85-90KM) iaitu sama jarak yang mengharuskan solat qasar. Jika kurang dari jarak itu, ia tetap wajib berpuasa. Walaupun harus berbuka, jika ia dapat berpuasa tanpa mendatangkan mudarat pada dirinya, berpuasa itu lebih baik dari berbuka kerana Allah berfirman; “Berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” (al-Baqarah, 184).
Selama ia dalam perjalanan, rukhsah itu terus berjalan baginya. Adapun jika ia berhenti di suatu tempat/persinggahan , ia tertakluk dengan hukum berikut;
1. Sekiranya ia berniat untuk tinggal di situ 4 hari atau lebih (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), tamat musafirnya dan tidak harus lagi ia meninggalkan puasa hinggalah hari ia keluar dari situ. Itu adalah mengikut pandangan jumhur ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad). Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tamat musafirnya jika berniat tinggal 15 hari atau lebih.
2. Sekiranya ia berhenti di satu tempat untuk suatu urusan dan ia tidak berniat untuk tinggal di situ beberapa hari tertentu, akan tetapi bergantung kepada urusannya, iaitu sebaik sahaja selesai urusannya ia akan keluar dari situ, harus baginya meninggalkan puasa selagi urusannya belum selesai sekalipun meliputi sebulan penuh Ramadhan.
Merujuk kepada kes saudara, oleh kerana saudara telah mengetahui bilangan hari saudara akan tinggal di luar Negara itu dan jumlah hari itu melebihi empat hari, maka menurut jumhur ulamak; sebaik saudara tiba di situ, musafir saudara telahpun terputus dan saudara tidak harus lagi meninggalkan puasa kecuali hari saudara akan pulang nanti (yakni bermula kembali musafir saudara). Jika saudara memakai pandangan Imam Abu Hanifah, haruslah saudara meninggalkan puasa selama saudara tinggal di luar Negara itu kerana bilangan hari saudara akan tinggal di situ kurang 15 hari.
Perlu diingatkan; puasa-puasa yang ditinggalkan semasa musafir itu wajib diqadha/diganti semula selepas Ramadhan sebelum tiba Ramadhan yang baru.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 418 dan 446.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan