Isnin, 22 September 2008

Isu Duit Raya. Sunnah @ Adat?

Isu Duit Raya 

Isu memberikan duit raya kepada kanak-kanak terdapat Pro dan kontranya. Bagi saya, hukumnya berubah-ubah mengikut keadaan pemberi dan penerima. 

 

Perspektif Positif : 

Jika dilihat dari perspektif baik, ia dapat memupuk semangat dan sifat menderma sebagai bukti hasil keberkatan yang diperolehi dari tarbiyah Ramadhan. 

Malah, sebenarnya ia lebih baik jika di berikan sebelum tamatnya Ramadhan, ia bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a yang menyebut :- 

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير , وكان أجود ما يكون في رمضان , حين يلقاه جبريل , وكان يلقاه كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ , يعرض عليه النبي القران , فإذا لقيه جبريل كان أجود بالخير من الريح المرسلة

Ertinya : "Adalah Nabi SAW adalah manusia yang paling bagus dan pemurah dengan segala jenis kebaikan, dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadhan, dimana ketika bertemu Jibrail yang datang di setiap hari di bulan ramadhan membentangkan (menyemak) al-Quran dari Nabi SAW, apabila ditemui Jibrail maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angin yang bertiup" (Riwayat Al-Bukhari) 

Justeru, sekiranya ia dapat diberikan dalam bulan Ramadhan sebagai sedeqah sudah tentu keberkatan pahalanya berlipat kali ganda berbanding memberikannya di bulan syawal. 

Oleh kerana kemungkinan pada hari raya sahaja kebanyakkan kita dapat berkumpul sekeluarga, mungkin kerana itulah akhirnya duit sedeqah kepada ahli keluarga yang eloknya diberikan di akhir Ramadhan itu menjadi ‘duit raya di hari raya' . 

Saya harap masyarakat yang mengamalkannya akan memperbetulkan niat mereka dengan memasang niat ia sebagai sedeqah dari bulan Ramadhan dan bukan sekadar adat hari raya semata-mata. 

 

Perspektif Negatif 

Ia boleh menjadi amat buruk dan sewajarnya di jauhi apabila : - 

1) Seseorang memberikannya dengan niat ingin menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan menayangkan jumlah yang diberinya dan ada pula yang terpaksa berhutang demi memberikan ‘duit raya'. Ini tidaklah di benarkan sama sekali menurut Islam. 

Justeru, perbezaan niat seseorang menentukan samada pemberian duit rayanya menjadi ibadat atau tidak. 

2) Terdapat juga ‘duit raya rasuah' yang mungkin diberikan oleh ahli perniagaan kepada pegawai tertentu bagi mempengaruhi keputusan pegawai itu di kemudian hari. Ia adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam Islam. 

3) Disebutkan juga, duit raya sebegini boleh membawa kesan negatif kepada kanak-kanak yang bersifat materialistik dan mengkritik individu yang tidak memberikan duit raya kepada mereka. 

Ini boleh menjadikan kanak-kanak lebih bersifat rakus dengan harta dunia di setiap kali tiba hari raya. Pandangan ini ada benarnya. 

Walaupun demikian, pada hemat saya faktor sebegini sukar untuk menjadikan seluruh amalan pemberian duit raya sebagai haram. Bagi mengelakkannya dari jatuh kepada haram, si pemberi mestilah mengingatkan penerima agar bersyukur dengan apa jua jumlah yang didermakan dan berhati-hati dengan keseronokan sementara dari fitnah bernama ‘duit' dan ‘wang' ini. 

Jika seseorang itu lebih cenderung kepada pendapat ianya haram. Wajiblah ia untuk menahan diri dari memberikan sebarang duit raya kepada kanak-kanak. Tiada ertinya ia mengatakannya haram, dalam masa yang sama ia sendiri masih memberikannya sewaktu hari raya. 

Justeru, pada hemat saya, pandangan membenarkan dengan syarat-syarat tertentu adalah lebih ringan dan mampu dilaksanakan oleh masyarakat hari ini yang telah membudayakannya sebagai amalan tahunan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah ‘adjust' niat, dan beberapa hal lain agar pemberian itu menjadi sebuah sedeqah yang berguna buat ahli keluarga terdekat, pemberi dan penerima. 

4) Bagi mereka yang amat sensitif isu halal haram, saya kira adalah amat terpuji jika dapat dipastikan sampul duit raya itu bukan dari mana-mana bank dan institusi kewangan konvensional yang haram. 

Ini kerana ia boleh dianggap mempromosikan perbankan Riba yang amat haram. Ia jelas termasuk dalam larangan Allah s.w.t dan Nabi s.a.w dari memberikan bantuan dan promosi kepada perkara yang haram. 

Sebuah hadis menyebut : 

لعَنَ رسولُ اللَّهِ في الخمرِ عشرةً عاصِرَها ومُعتصِرَها وشارِبها وحامِلَها والمحمولَةَ إِليهِ وساقيَها وبائعهَا وآكلَ ثمنِها والمشتَري لها والمشترى لهُ 

Ertinya : Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya. " (Riwayat Ibn majah, 2/1122 ; Tirmidzi, Hadis Gharib ; Albani : Hasan Sohih) 

Keterangan : Walaupun hadith ini menyebut bab arak, tetapi ia merangkumi item haram yang lain berdasarkan kepada kaedah Qiyas dalam Islam. 

Sebuah Hadith lagi : ertinya 

قال لَعَنَ رسول اللَّهِ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ قال قلت وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ 

Ertinya : "Dilaknati Rasulullah SAW pemakan riba, dan pemberi makan, saksinya dan penulisnya" ( Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi & Albani : Hasan Sohih ) 

Justeru, jika ia berlaku juga, saya bimbang pahala hasil sedeqah duit raya itu pastinya tergugat. Ia sama seperti memberi duit raya menggunakan sampul duit yang tertulis jenama arak. Apa pandangan anda?. 

 

Wa’allahualam… .Hanya Allah dan Rasulnya yang mengetahui….Amiinn

Tiada ulasan: