Ahad, 21 September 2008

Bijak Dalam Beramal

Bijak dalam beramal



Orang-orang kaya biasanya mempunyai mentaliti yang berbeza daripada orang-orang biasa dari sudut mengurus dan mengatur kekayaan mereka. Majoriti mereka berada dalam bidang perniagaan atau pelaburan. Mereka lebih bijak dalam memperuntukkan wang mereka bagi menambah kekayaan mereka. 


Berbanding dengan orang biasa, mereka lebih banyak menumpukan kepada pembelian asset atau perniagaan yang boleh menambah lebih wang ke dalam saku mereka. Wang mereka terus bertambah walaupun mereka tidak bekerja!




Perkara sebegini juga dapat dilihat di kalangan umat Islam.


Imam an-Nawawi r.a. sebagai contoh, meninggal dunia pada usia yang muda, iaitu sekitar 40an. Namun beliau telah meninggalkan khazanah yang sangat berharga dengan sumbangannya dalam bidang hadis dan fiqh. Ini bermakna, amalannya masih lagi berjalan hingga ke hari ini walaupun beliau telah meninggal dunia hampir seribu tahun lalu!


Umat Islam perlulah bijak dalam mengatur amalan mereka. Kita tidak seharusnya hanya menumpukan kepada amalan-amalan yang bersifat individu seperti solat sunat, iktikaf, dan sebagainya semata-mata. Kita seharusnya juga memberikan perhatian kepada amalan-amalan yang mendatangkan manfaat kepada orang ramai dan juga amalan yang membawa kesan yang berkesinambungan.




Ini sepertimana yang disebutkan dalam hadis-hadis berikut.


Daripada Umar bin al-Khattab r.a., RasuluLLah SAW. bersabda:


“Orang yang paling disukai Allah adalah mereka yang paling banyak manfaatnya (bagi orang lain);
dan amalan yang paling baik dilakukan oleh seseorang adalah memasukkan rasa kebahagiaan ke atas seorang Muslim,
menyelamatkannya daripada penderitaan,
melupuskan hutangnya ataupun mengusir rasa kelaparan daripadanya.
Sesungguhnya, aku sangat suka berjalan dengan seorang Muslim demi menunaikan hajat (keperluannya) daripada aku duduk (iktikaf) di dalam masjid sebulan lamanya.” 
(Diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi ad-Dunya dalam bab: Fi Qada al-Hawaij dan Imam at-Tabarani. Katanya: hadith tersebut hasan.)


Daripada Abdullah b. Amr r.a., RasuluLLah SAW. bersabda:


“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah semua amalannya, kecuali tiga perkara: 
sadaqah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan (orang lain), ataupun anak yang soleh yang sentiasa mendoakan orang tuanya.” 
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Abu Dawud)

“Sesungguhnya perkara-perkara yang akan mengikuti seorang Mukmin daripada amalan dan kebaikannya setelah ia meninggal dunia ialah
ilmu pengetahuan yang diajarkan dan disebarkannya, anak yang soleh yang ditinggalkannya, mushaf (al-Quran) yang diwarisinya, masjid yang dibinanya, rumah yang dibina untuk ibn sabil atau sungai yang digalinya (untuk mengairi sawah ladang), atau sedekah yang dikeluarkan dari wang dan hartanya di waktu masa sihat dan hidupnya.
Kesemuanya itu akan menyertainya setelah kematiannya.” 
(Hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad hasan, dan al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah di dalam sahihnya.)



Dakwah adalah salah satu daripada amalan-amalan yang utama yang membawa manfaat kebaikan yang besar.


Daripada Abu Hurairah r.a., RasuluLLah SAW. bersabda:


“Sesiapa yang menyeru orang lain kepada hidayah (Islam),
ia akan memperolehi ganjaran (pahala) sebanyak ganjaran yang diterima oleh orang-orang yang mengikuti seruannya itu
dan tidak mengurangi sedikitpun pahala (ganjaran) mereka.
Demikianlah, amalan yang paling mulia dan utama di sisi Allah adalah amalan yang paling banyak memberikan manfaat kebaikan kepada orang ramai.” 
(Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674) , Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Tirmidzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Baghawi (109))



Bijaklah dalam beramal!


Setiap orang boleh berdakwah!

meow!

-firdaus-
http://dawah4dummie s.blogspot. com/

Tiada ulasan: