PADA suatu masa dahulu ada sekumpulan ayam yang tinggal di dalam
sebuah reban. Di dalam reban ini ada lima ekor ayam betina dan seekor
ayam jantan. Ayam jantan ini diberi nama Si Jalak.
Si Jalak ialah seekor ayam jantan yang segak. Bulunya berwarna coklat
serta berjalur hitam dan bertompok-tompok putih. Ekornya hitam
berkilat. Balungnya merah menyala.
Si Jalak mempunyai ramai kawan. Selain dari ibu-ibu ayam yang tinggal
sereban dengannya, dia juga berkawan dengan kambing, lembu, angsa dan
itik. Jika dia berjumpa dengan mereka, ada sahaja yang hendak
dibualkannya.
Si Jalak juga menjadi kesayangan tuannya. Setiap subuh, Si Jalak akan
mengokok dengan suara yang nyaring dan merdu. Apabila Si Jalak
mengokok di waktu subuh, " Uk … uk … uk … uuuuuk….," tuannya akan
terjaga. Tuannya pula akan membangunkan seluruh keluarganya untuk
menunaikan fardhu subuh.
Pada suatu hari, Si Jalak sedang memakan dedak yang ditabur oleh
isteri tuannya di belakang rumah. Anak tuannya yang baru belajar
berjalan sedang bermain di halaman. Budak itu berlari mengejar rama-
rama yang terbang dekat serumpun pokok bunga mawar.
Si Jalak hanya memerhatikan sahaja budak itu.
Tiba-tiba Si Jalak ternampak seekor ular kapak sedang melingkar di
ranting pokok bunga mawar itu. Si Jalak meluru ke arah pokok bunga
mawar dan mematuk ular tersebut. Ular itu jatuh ke tanah. Si Jalak
terus mematuknya hingga mati. Budak kecil itu terkejut dan terjatuh
lalu menangis.
Ibu budak itu turun dari rumah dan berlari mendapatkan anaknya.
Didukung anaknya dan dipeluknya. Apabila dia ternampak ular itu, dia
terus berlari naik ke rumah dan memberitahu suaminya.
Suaminya turun membawa sebatang buluh. Dia menuju ke arah pokok bunga
mawar, tetapi apabila dikuis ular itu, didapatinya ular itu telah
mati. Seluruh tubuh ular itu terdapat kesan dipatuk. Dia ternampak Si
Jalak berada berhampiran. Tahulah dia bahawa Si Jalak telah
menyelamatkan anaknya.
Dia naik semula dan memberitahu isterinya supaya berhati-hati apabila
anak mereka bermain di halaman. Katanya, "Mujur juga ada Si Jalak di
situ. Si Jalaklah yang membunuh ular itu. Jika tidak, tentulah anak
kita dipatuk oleh ular kapak itu."
Pada petang itu, Si Jalak pun pergilah mencari kambing. Kambing
sedang meragut rumput di tepi batas. Si Jalak menegur kambing, "Hai
kambing. Pagi tadi aku telah membunuh seekor ular kapak di celah
pokok bunga mawar. Mujur juga aku nampak, jika tidak sudah tentu
dipatuknya anak tuan kita."
"Baguslah begitu Jalak. Tentu tuan kita sayangkan kau. Jika tuan kita
sayangkan kita, hidup kita pun senang," jawab kambing. Mereka terus
berbual-bual hingga hari senja. Si Jalak dan kambing pun berjalan
pulang. Di pertengahan jalan, mereka berjumpa lembu yang baru pulang
dari bekerja menarik kereta lembu.
Si Jalak melompat naik ke atas belakang lembu. Mereka bertiga terus
berjalan pulang. Sampai sahaja mereka ke rumah tuan mereka, Si Jalak
pun terus masuk ke rebannya. Kambing dan lembu pula masuk ke kandang
masing-masing.
Subuh esoknya, Si Jalak bangun dan berkokok, " Uk …. uk …. uk ….
uuuk." Ibu-ibu ayam pun bangun. Mereka turun dari reban bersama anak-
anak mereka untuk mencari makan. Si Jalak juga keluar. Kali ini Jalak
ingin mencari makan di tempat orang menumbuk padi untuk dibuat beras.
Selalunya ada beras yang tumpah dari lesung.
Oleh kerana hari masih awal, belum ada orang di tempat menumbuk padi
itu. Si Jalak pun makanlah sekenyang-kenyangny a. Tiba-tiba di
terlihat kerlipan hijau dari celah semak. Dia pergi menghampiri
cahaya hijau tadi.
Di celah semak itu di lihatnya sebutir batu hijau yang sungguh
cantik. Walau pun batu itu kecil sahaja, namun kerlipannya amat
menawan hati. Si Jalak menghampiri batu itu dan membeleknya dengan
paruhnya. Nampaknya batu ini bukan sebarang batu. Ini mesti batu
permata, fikir Si Jalak.
Si Jalak terus mematuk batu itu dan disimpannya di dalam mulutnya.
Dia terus pulang. Di pertengahan jalan, Si Jalak bertembung dengan
angsa. Angsa menegurnya, "Hai Jalak. Semasa aku berjalan di bawah
rumah tuan kita tadi, aku dengar tuan memuji-muji keberanian kau
membunuh ular kapak yang bisa kelmarin."
Si Jalak hanya menganggukkan kepalanya. Dia tidak mahu membuka
mulutnya kerana takut batu permata tadi jatuh ke tanah. Angsa menjadi
hairan kerana Si Jalak langsung tidak menegurnya. Amboi, baru dipuji
sedikit, sudah mula sombong, fikir angsa. Angsa berasa kecil hati
atas perbuatan Si Jalak itu.
Apabila sampai di reban, Si Jalak melihat ibu-ibu ayam dan anak-anak
mereka sedang berlegar di keliling reban. Si Jalak terus masuk ke
dalam reban. Ada beberapa anak ayam cuba mengikutnya masuk ke reban,
dikuisnya mereka dengan kakinya. Lari bertempiaranlah anak-anak ayam
itu.
"Klak. Klak. Mengapa pula Si Jalak memarahi anak-anak kita ni?
Bukannya mereka mengacaunya. Tetapi mengapa pula tidak dibenarkan
mereka masuk ke reban?" rungut seekor ibu ayam.
Si Jalak masuk ke reban dan cuba mencari tempat untuk menyembunyikan
batu permata itu. Mula-mula diselitkannya di celah dinding buluh
reban itu. Kemudian diubahkannya ke bawah sekeping lantai yang
longgar. Si Jalak terus duduk di atas kepingan lantai itu. Dia tidak
keluar dari reban itu sepanjang hari.
Apabila hari sudah senja, ibu-ibu ayam pun membawa anak-anak mereka
masuk ke dalam reban. Mereka hairan melihat Si Jalak duduk di atas
lantai reban itu seolah-olah sedang mengeramkan telur. Ibu-ibu ayam
tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan telatah Si Jalak.
Pada malam itu, Si Jalak tidak dapat lena. Dia takut batu permatanya
dicuri. Jadi berjagalah dia sepanjang malam. Apabila sudah subuh, Si
Jalak pun berkokok, " Uk … uk …" Si Jalak terlalu mengantuk hinggakan
suaranya pun tidak keluar untuk berkokok.
Oleh kerana suaranya terlalu perlahan, tuannya tidak terjaga awal.
Apabila tuannya terjaga, dilihatnya matahari sudah tinggi.
Bergegaslah tuannya membangunkan keluarganya untuk bersembahyang
subuh. Pagi itu mereka bersembahyang subuh gajah. Tuannya merungut
kerana Si Jalak tidak berkokok dengan kuat seperti biasa.
Ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka pun keluar reban. Setelah mereka
keluar barulah Si Jalak melelapkan matanya. Dia tidak keluar dari
rebannya untuk mencari makan. Dia hanya tidur di dalam rebannya
sehari suntuk. Apabila sudah petang, perutnya berasa lapar, tetapi
dia tidak mahu keluar kerana takut meninggalkan batu permatanya.
Pada subuh esoknya, Si Jalak terjaga apabila hari sudah siang.
Rebannya pun telah kosong kerana semua ibu dan anak ayam sudah lama
keluar untuk mencari makan. Si Jalak terdengar tuannya marah-marah
kerana Si Jalak tidak berkokok subuh itu.
Si Jalak berasa sangat lapar kerana sudah dua hari tidak makan. Oleh
kerana terlalu lapar dan haus, Si Jalak terpaksa keluar. Sebelum dia
keluar, dia telah mengubah tempat persembunyian batu permatanya. Kali
ini dimasukkannya batu permata itu ke dalam sebuah lubang kecil di
tepi dinding.
Si Jalak pun keluar reban. Dia berlari ke belakang rumah tuannya
dengan harapan ada makanan. Rupanya semua makanan yang disediakan
oleh isteri tuannya telah dimakan oleh ibu-ibu ayam, anak-anak ayam,
itik dan angsa.
Si Jalak menjadi marah kerana sudah tiada apa yang ada untuk dimakan.
Dia tidak pergi ke tempat orang menumbuk padi kerana tidak mahu
berjauhan dari batu permatanya.
Itik datang menghampirinya lalu berkata, "Hai Jalak. Sudah dua hari
kamu tidak keluar reban. Adakah kamu sakit?"
"Kalau aku sakit pun, bukan menyusahkan kamu!" jawab Si Jalak dengan
sombong. Itik sungguh terkejut mendengar jawapan Si Jalak hinggakan
tidak dapat berkata apa-apa. Itik terus berundur dari situ dan pergi
mendapatkan angsa.
"Betul juga kata kamu, angsa. Si Jalak sudah menjadi bongkak," lalu
itik menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi. Angsa hanya
menggeleng-gelengka n kepala seolah-olah tidak percaya apa yang
terjadi. Ini adalah kerana mereka berkawan rapat dengan Si Jalak
sejak kecil lagi.
Si Jalak pula pergilah ke kawasan limbah di belakang dapur untuk
mencari makanan. Dia tahu bahawa makanan di situ tidak bersih, tetapi
kerana terlalu lapar, dimakannya juga apa yang ada di limbah itu.
Biarlah tak kenyang, tetapi aku sekarang ada batu permata, fikir Si
Jalak.
Lepas makan, Si Jalak terus masuk ke rebannya. Dia terus memeriksa
lubang tempat dia menyembunyikan batu permata itu. Dilihatnya batu
permata itu masih ada di dalam lubang. Dia kemudian menyumbatkan
jerami padi ke dalam lubang supaya batu permata itu tidak dapat di
lihat langsung.
Beberapa hari berlalu. Perangai Si Jalak berubah terlalu mendadak.
Ibu-ibu ayam berbincang sesama sendiri. Itik dan angsa pula pergi
berjumpa kambing dan lembu menceritakan telatah Si Jalak.
Lembu kemudiannya menceritakan perbualan tuan mereka dengan seorang
petani ketika dia menarik kereta lembu pagi. Tuannya berhajat hendak
membela ayam jantan yang lain kerana Si Jalak sudah tidak boleh
berkokok pada waktu subuh lagi.
Itik dan angsa pulang dan berjumpa ibu-ibu ayam. Mereka menceritakan
apa yang mereka dengar dari lembu. Ibu-ibu ayam menjadi susah hati
kerana mereka telah mengenali Si Jalak dari mereka kecil lagi. Kalau
ayam jantan lain datang, mereka tentu terpaksa menyesuaikan diri
dengan ayam jantan yang baru pula.
Ibu-ibu ayam bermesyuarat mengenai pengembangan terbaru ini. Mereka
bersetuju untuk berhadapan dengan Si Jalak untuk mencari penyelesaian
masalahnya. Kelima ibu ayam itu pun masuk ke reban.
Di dalam reban itu mereka jumpa Si Jalak yang sedang duduk bersandar
ke dinding. Ibu ayam yang tertua berkata, "Hai Jalak. Kami ingin
bertanyakan sesuatu dari kamu. Kami harap kamu bersedia menyatakan
masalah kamu."
"Yang kamu semua sibuk ni, mengapa?" kata Si Jalak dengan angkuh.
"Kami sibuk kerana kami dapat tahu bahawa tuan kita hendak
menggantikan kamu dengan ayam jantan yang lain. Jika itu betul, kami
rasa kamu akan disembelih untuk dibuat lauk kerana sekarang ini kamu
tidak berguna lagi," kata ibu ayam.
Rasa nak pitam Si Jalak mendengar kata-kata ibu ayam itu. Memang
benar sudah hampir seminggu dia tidak berkokok kerana badannya lemah
dan selalu tak cukup tidur. Kata ibu ayam lagi, "Sekarang ini kawan-
kawan baik kamu semuanya mengatakan bahawa kamu ini sombong. Tetapi
mereka semua masih sayangkan kamu. Itulah mereka selalu bertanya
khabar. Cuma kamu sahaja tidak menghargai persahabatan mereka."
Si Jalak berasa sangat sedih. Sejak dia berjumpa batu permata ini,
hidupnya menjadi susah. Setiap hari dia tidak cukup makan. Kawan-
kawannya pula terpaksa menjauhkan diri kerana dia tidak mempedulikan
mereka. Tuannya yang dahulu menyayanginya, kini hendak menggantikan
dia dengan ayam jantan yang lain. Ibu-ibu dan anak-anak ayam juga
sering berkecil hati kerana dia selalu memarahi mereka jika mereka
menghampiri tempat dia menyembunyikan batu permatanya.
Setelah berfikir dengan mendalam mengenai masalahnya, Si Jalak pun
berterus terang dengan ibu-ibu ayam. Mereka pun meminta ditunjukkan
batu permata itu. "Klak. Klak. Klak. Cantiknya batu permata hijau
ini. Patutlah kamu amat menyayanginya, " kata mereka. Tetapi Si Jalak
telah pun membuat keputusan dia tidak mahukan batu permata ini lagi,
walau bagaimana cantik pun.
Si Jalak mengutip batu permata itu dengan paruhnya dan dibawanya
keluar dari reban. Dia berjalan ke arah rumah tuannya. Dilihatnya
isteri dan anak tuannya sedang duduk dibawah pokok jambu air di tepi
rumah. Dia pergi kepada isteri tuannya dan diluahkannya batu permata
hijau itu. Batu permata itu pun jatuh ke tanah di tepi kaki isteri
tuannya itu.
Melihatkan batu berwarna hijau diluahkan oleh Si Jalak, isteri
tuannya itu pun tunduk dan mengambil batu itu. "Aduh. Bertuah betul
kamu ini Jalak! Batu zamrud yang terjatuh dari cincin perkahwinanku
dulu telah dijumpai. Sudah hampir seminggu aku mencarinya, baru
sekarang berjumpa," kata isteri tuannya sambil memanggil suaminya
turun.
Suaminya pun turun dan ditunjukkan batu zamrud yang dijumpai oleh Si
Jalak. Tuan Si Jalak sungguh gembira kerana sudah seminggu isterinya
bersugul kerana kehilangan batu zamrud itu. Si Jalak berlalu dari
situ dengan senang hati. Dia pergi mencari kawan-kawannya itik,
angsa, kambing dan lembu untuk meminta maaf kepada mereka atas
sikapnya akhir-akhir ini.
Sejak hari itu, Si Jalak berkokok setiap waktu subuh dengan suara
yang lebih nyaring dan merdu. Tuannya juga tidak lagi bangun lewat
dan sentiasa dapat mengerjakan sembahyang subuh tepat pada waktunya.
Si Jalak terus disayangi oleh tuannya seisi keluarga. Kawan-kawan Si
Jalak juga gembira kerana Si Jalak kembali menjadi riang dan peramah.
Sumber Asal :
Mohamed Yosri Mohamed Yong
Tiada ulasan:
Catat Ulasan