Isnin, 6 Oktober 2008

Darah Tinggi Seawal 25 Tahun

Seawal umur 25 tahun

MENJELANG tahun 2025, dianggarkan lebih 1.5 bilion penduduk dunia atau satu daripada tiga manusia yang berumur lebih 25 tahun akan menghidap penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) , iaitu antara faktor risiko utama untuk pembunuh nombor satu, penyakit jantung dan strok (angin ahmar).



Tekanan darah tinggi tidak menunjukkan simptom ketara dan hanya boleh disahkan oleh doktor anda. Untuk itu, Hari Jantung Sedunia 2008 menekankan pentingnya 'mengetahui risiko anda'.



Kira-kira 17.5 juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan oleh penyakit jantung dan strok, sama banyaknya dengan jumlah keseluruhan kematian akibat penyakit HIV/AIDS, tuberkulosis, malaria, penyakit respiratori kronik dan semua jenis kanser.

Presiden Persekutuan Jantung Sedunia yang berpangkalan di Geneva, Switzerland, Profesor Shahryar Sheikh menyatakan tidak ramai yang mengetahui berapa banyak nyawa hilang akibat penyakit jantung dan strok.



"Tidak ramai juga yang mengetahui gaya hidup dan warisan (genetik) mereka mungkin menyumbang kepada risiko menghidap penyakit jantung dan strok.

"Ianya tidak terlalu awal dan tentu sekali belum terlambat untuk mula menjaga jantung," katanya.



Menurut beliau, bilangan pesakit tekanan darah tinggi dijangka meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun-tahun berikutnya.



Beliau bagaimanapun menegaskan peningkatan ini bukannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.



"Dengan menerima perubahan gaya hidup bersesuaian dan mengurangkan risiko diri, masa depan anda mungkin lebih cerah," jelasnya.



Penyakit jantung dan strok boleh dielakkan dengan senaman berkala, berhenti merokok dan diet lebih sihat yang kurang garam dan lemak, serta tinggi dengan serat. Pengambilan garam berlebihan dikait rapat dengan tekanan darah tinggi.



Kajian terkini menunjukkan peningkatan hidangan buah dan sayur dari kurang tiga hidangan sehari, kepada lebih lima hidangan sehari juga dapat mengurangkan 17 peratus risiko penyakit jantung koronari. Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Jantung Sedunia hari ini (28 September 2008), layari laman web www.worldheart. org atau www.worldheartday. com.

Tiada ulasan: