Isnin, 6 Oktober 2008

Pagar Diri Dari Hasutan Syaitan

Pagar Diri Dari Hasutan Syaitan

Contributed by rizal on Tuesday, July 31 @ 10:52:30 MYT
Cahaya Keimanan
Dalil tentang Hasutan Syaitan

Dalam Surah Al-A'raaf, ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:

"...Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang
kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan
Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."
(Al-A'raaf, sebahagian ayat 27)

Allah SWT juga berfirman di dalam Surah Az-Zukhruf ayat 36 hingga 37
yang maksudnya:

"Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang
diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya
Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) , lalu menjadilah Syaitan
itu temannya yang tidak renggang daripadanya . Dan sesungguhnya
Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar,
sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat
hidayah petunjuk." (Az-Zukhruf, ayat 36-37)

Dalam hadith Rasulullah SAW juga ada disebutkan bagaimana Syaitan
merasuki manusia.

Shafiyah binti Huyay RA berkata, Rasulullah SAW bersabda;
"Sesungguhnya Syaitan berpindah pada diri manusia melalui urat
darahnya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yakinlah kita dengan dalil-dalilnya bahawa syaitan sememangnya wujud
dan sentiasa tidak berputus asa untuk menyesatkan manusia. Maka kita
seharusnya mengetahui bagaimana caranya untuk memagar diri daripada
gangguannya.

Siapa Itu Syaitan

Sebelum memagar diri daripada gangguan syaitan, terlebih dahulu kita
perlu mengenali siapa itu syaitan. Ibnu Jarir Ath-Thabari mengatakan,
"Di dalam Bahasa Arab, syaitan bererti setiap pembangkang. Baik dari
kalangan manusia, jin, binatang dan sebagainya."

Allah SWT berfirman dalam surah Al-An'aam ayat 112 yang maksudnya:

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari
Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada
setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya
untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah
mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang
mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. "
(Al-An'aam ayat 112)

Syaitan dari golongan manusia mungkin agak mudah untuk kita tangani
kerana kita dapat melihat mereka. Mungkin kerana mata hati yang gelap,
manusia tetap tergoda dengan hasutan-hasutan manusia. Adalah yang
perlu lebih diawasi ialah syaitan dari golongan jin yang kita tidak
dapat melihat mereka sedangkan mereka sentiasa ada di mana-mana dan
sentiasa pula menghasut manusia.

Ketahuilah kita bahawa pembangkang atau syaitan yang pertama sekali
bermusuh dengan manusia ialah Iblis, iaitu dia telah membangkang
apabila disuruh sujud menghormati Nabi Adam. Oleh kerana bantahannya
ia telah dilaknat Allah SWT dan kemudiannya dia meminta tangguh kerana
dendamnya untuk menyesatkan manusia. (Rujuk tafsir ayat 28 hingga 44
surah Al-Hijr untuk mengikuti kisahnya lebih lanjut).

Iblis telah diusir ke bumi dan di sini, ia telah mengumpulkan
syaitan-syaitan dari golongan jin sebagai bala tenteranya. Dalam satu
hadith riwayat Imam Muslim disebutkan, "Dari Jabir bin Abdullah RA,
dia berkata Rasulullah SAW bersabda:

"Iblis meletakkan (membangun) singgahsananya di tengah lautan, lalu
dia mengutus iringan bala tenteranya. Pasukan yang paling dekat di
sisinya (yang paling dicintai) adalah yang paling besar godaannya
(hasil fitnahnya). Salah satu pasukannya datang dan berkata kepadanya,
'Saya telah melakukan begini dan begini.' Maka Iblis berkata, 'Kamu
belum melakukan apa-apa.' Lalu salah seorang dari pasukannya datang
lagi dan berkata, 'Saya telah menjerumuskannya (seorang suami), hingga
dia memisahkan isterinya (bercerai).' Maka Iblis mendekatkan pasukan
ini kepadanya, dan berkata, 'Ya, itu baru bagus!'

A'masy berkata, "Saya melihatnya berkata, 'Maka dia pun
mengikutinya. '" (Syarh Sahih Muslim 17/107)

Benteng Umum

Ada pun, benteng umum untuk mengelakkan gangguan dan kejahatan syaitan
ialah dengan memelihara Iman. Sentiasalah memperbaiki keimanan kita
dari hari ke sehari. Sebagai manusia biasa, Iman kita ada naik dan ada
turunnya. Maka adalah penting untuk kita mempraktikkan
larangan-larangan dan suruhan-suruhan Rasulullah SAW untuk memelihara
diri daripada kejahatan syaitan.

Larangan dan Suruhan bagi Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan

1. Mengambil berat tentang solat berjemaah

Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang
muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa
terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang
untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama-kelamaan
ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Mengikut riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, ertinya:

"Mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan
solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan
didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.
Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri
dari puaknya." (Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang baik).

2. Menyebut nama Allah apabila masuk ke rumah dan apabila makan

Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir
bin Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda,
maksudnya:

"Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama
Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada
teman-temannya, 'Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk
kalian.' Jika dia memasuki rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan
akan berkata (kepada saudara-saudaranya) , 'Kalian boleh ikut menginap
di dalamnya malam ini.' Dan ketika makan, dia tidak menyebut nama
Allah, syaitan berkata, 'Kalian boleh ikut menyantap makan malam.'"

3. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas

Terdapat hadith daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, apabila
Nabi Muhammad SAW memasuki tandas, baginda mengucapkan:

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari jin kafir (syaitan) betina
dan syaitan jantan." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Berwuduk sebelum tidur

Disebutkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Bara`
bin Azib RA, maksudnya:

"Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah
sebagaimana kamu berwuduk untuk melakukan solat." (Hadith Riwayat
Bukhari dan Muslim)

5. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur

Dalam satu hadith yang panjang, diringkaskan di sini, bahawa Abu
Hurairah RA menceritakan beliau telah didatangi seorang pencuri yang
mencuri hasil kutipan zakat yang dijaganya sebanyak tiga kali,
sedangkan telah dua kali diberi amaran dan dia telah berjanji tidak
akan datang mencuri hasil kutipan zakat itu lagi.

Untuk kali ke tiganya, dia berkata "Lepaskanlah saya, saya akan
mengajarkan beberapa kalimat semoga Allah memberikan manfaat untukmu
dengan kalimat ini." Beliau pun bertanya tentang doa itu.
Dia berkata, "Jika kamu berbaring di perbaringan, bacalah ayat kursi,
kerana dengan begitu, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak
akan mendekatimu hingga pagi harinya."

Maka beliau pun melepaskannya sekali lagi.
Pagi esoknya, Rasulullah SAW bertanyakan akan hal tahanannya lagi,
lalu Abu Hurairah RA menceritakannya.
Lalu baginda bersabda, "Mahkluk itu telah berkata benar kepadamu,
sedangkan ia adalah si pendusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu
siapa yang kamu ajak bicara sejak tiga hari yang lalu itu?" Beliau
menjawab, "Tidak". Baginda bersabda, "Ia adalah syaitan." (Hadith
Riwayat Bukhari dengan ta'liq)

6. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh
badan sebelum tidur

Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan,

"Gabungkanlah kedua telapak tangan anda dan bacalah surah Al-Ikhlas,
Al-Falaq dan An-Nas padanya. Kemudian, tiuplah keduanya lalu sentuh
anggota badan seluruhnya, sejauh yang dapat dicapai dimulai dari
kepala." (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)

7. Tutup mulut apabila menguap

Dalam satu hadith, Abu Said Al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah
SAW bersabda, maksudnya:

"Apabila salah seorang di antara kamu menguap, hendaklah dia menutup
mulutnya dengan tangan, kerana syaitan akan masuk." (Hadith Riwayat
Imam Muslim dan Ad-Damiri)

8. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya,
hendaklah dia melakukan istintsar tiga kali, kerana syaitan bermalam
pada hidungnya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Istintsar ialah perbuatan menyedut air ke dalam hidung, kemudian
menghembusnya keluar, seperti ketika berwuduk. Hikmah lain istintsar
ialah ia merupakan satu penawar bagi penyakit resdung. Amalkanlah
selalu, contohnya selepas keluar ke kawasan kotor berdebu seperti di
jalan raya.

9. Mendirikan Solat Tahajjud

Apabila seseorang tidur, lalu bangun di pagi harinya tanpa sedikit pun
qiyamullail, syaitan akan semakin dekat menguasainya. Dari Abdullah
bin Masud RA, dia berkata,

"Pernah disebutkan kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang tidur
semalam penuh hingga bangun di pagi harinya, maka beliau bersabda:
'Itu adalah orang yang kedua telinganya (atau satu telinganya) telah
dikencingi syaitan.'" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Tutup rumah dan tahan anak-anak menjelang Maghrib

Dalam satu hadith marfu' yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA, katanya;

"Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya,
serta anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari
terbenam hingga kabut malam (waktu Isya') menghilang; kerana
syaitan-syaitan bertebaran ketika matahari terbenam, hingga kabut
malam menghilang." (Hadith Riwayat Muslim)

11. Jangan kencing pada lubang-lubang

Imam Nasa'i meriwayatkan dari Qatadah, dari Abdullah bin Sirjis,
katanya Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya;

"Janganlah salah seorang di antara kaluan kencing pada lubang-lubang. "
Mereka bertanya kepada Qatadah, "Mengapa kita dimakhruhkan untuk
kencing pada lubang-lubang? " Dia menjawab, "Kerana lubang-lubang
merupakan tempat tinggal jin." (Hadith Riwayat Abu Dawud, An-Nasa'i
dan Imam Ahmad)

12. Mengingat Allah setiap waktu dan keadaan

Menurut satu kajian oleh Prof Dr Sir Norhisham Wahab, seorang pelopor
Colour Vibration Therapy (CVT), syaitan dan jin tidak memiliki unsur
jasad menyebabkan mereka tidak dapat dilihat sebaliknya kewujudan
mereka terbukti menerusi sains fizik kuantum dan mampu dikesan
menggunakan teknologi gelombang.

Zikir pula memiliki gelombang tetap dan apabila diamalkan secara
berterusan, gelombang zikir akan menguasai ruang kosong pada tubuh
manusia dan menjadikannya pejal, menyebabkan tiada lagi ruang untuk
dimasuki gelombang asing seperti syaitan atau jin.

Selalulah berzikir dengan zikir yang telah diajar oleh Rasulullah SAW
yang banyak dikumpulkan sekarang di dalam koleksi Al-Maksurat dan
Al-Azkar.

Dalam satu hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;

"Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan
mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh
musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang
melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak
akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah
(berdzikir kepada Allah)." (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

13. Mengingat Allah ketika bangun tidur

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

"Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat tiga ikatan
pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang malam tidurmu. Maka
tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah/ingatlah Allah, maka satu
ikatan akan terlepas. Kemudian jika kamu berwuduk, maka akan terlepas
satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan
terlepas satu ikatan lagi hingga ia memulakan paginya dengan semangat
dan jiwa yang bersih. Jika tidak, maka jiwanya akan kotor dan dalam
keadaan malas."(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

14. Mengingat Allah ketika keluar rumah

Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

"Barangsiapa yang ketika akan keluar rumah mengucapkan; bismillahi
tawakkaltu alalloh la haula wa la quwwata illa billah (dengan nama
Allah, aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan
kecuali kekuatan Allah), maka kepadanya akan dikatakan cukuplah
bagimu, kamu telah dijaga dan syaitan telah menjauh darimu." (Haith
Riwayat At-Tirmidzi)

15. Mengingat Allah ketika masuk masjid

Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA, dari Nabi Muhammad
SAW bahawa ketika akan masuk masjid, baginda mengucapkan, "A'udzu
billahil-azhim wa bi wajhihil-karim wa
sultonihil-qodimmin assyaithonirroji m (Aku berlindung kepada Allah yang
Maha Agung, dengan wajah-Na yang mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang
qodim dari syaitan yang terkutuk." Beliau berkata, "Itu saja?" Baginda
berkata, "Ya, jika seseorang mengucapkan ini, maka syaitan akan
berkata 'Ia telah dijaga dariku sepanjang hari'. " (Hadith Riwayat Abu
Dawud)

16. Merapatkan saf solat berjemaah

Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;

"Luruskan barisan dan rapatkan bahu-bahu di antara kamu, dan lembutkan
badan kamu untuk saudara yang di sebelah kamu. Jangan tinggalkan ruang
kosong untuk syaitan mengambil tempat. Sesiapa yang merapatkan saf,
maka Allah akan bersama dengannya dan siapa yang memutuskan saf, maka
Allah akan putuskan hubungan dengannya." (Hadith Riwayat Abu Dawud)

17. Mengingat Allah ketika menanggalkan pakaian

Dari Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;

"Penghalang antara pandangan syaitan dan aurat anak cucu Adam adalah,
apabila ia menanggalkan pakaiannya, mereka mengucapkan bismillah."
(Hadith Riwayat At-Thabarani)

Adalah penting membaca doa menanggalkan pakaian kerana banyak kes
terjadi di mana jin telah tergoda dengan manusia dan menaruh cintanya
kepada manusia itu hingga membawa mudarat kepadanya. Doa menanggalkan
pakaian:

Ertinya: Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain dari Dia.

18. Mengingat Allah ketika akan berhubungan suami isteri

Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah SAW
bersabda maksudnya;

"Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah
ia mengucapkan 'Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma
rozaqtana' (Ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan
jauhkanlah syaitan dari apa yang telah Engkau berkan kepada kami).
Jika Allah menakdirkan kepada keduanya seorang anak (dari hubungan
itu), maka anak tersebut akan terhindar dari syaitan selamanya."
(Hadith Riwayat Bukhari)

19. Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah

Buah Tamar atau Kurma mempunyai pelbagai khasiat. Bagi Tamar 'Ajwah
dan Tamar Madinah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;

"Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya,
maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun
sihir." (Hadith Riwayat Bukhari)

20. Mengelakkan pintu-pintu kemasukan jin dan syaitan

Daripada penceritaan para pengamal perubatan Islam, terdapat empat
pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaitan untuk merasuki
manusia. Empat pintu itu ialah:

* Terlalu marah
* Terlalu gembira/ seronok/ leka
* Terlalu dukacita
* Terlalu syahwat

Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan
kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam
keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan
lain-lain lagi.

Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara
terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi
diri dengan dzikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah
sifat-sifat tercela.

ALLAHU A'LAMU BISSAWAB.

Note:
Artikel ini adalah sumbangan rizal, seorang warga Megasutra. Syabas
dan ribuan terima kasih kami rakamkan.

Tiada ulasan: